Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Ikan Kering Ikon Ekonomi Pantai Genting

By 9 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan /foto oleh Mohd Hussin Abdullah/Shikh Zailani Yusof/Wan Noriza Wan Jaafar/
NorDiana Mohd Zain/ Nur Farkhirah Zainal Abidin (Kota Bharu)

TUMPAT, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Ikan kering seringkali dikaitkan sebagai sumber makanan alternatif bagi keluarga di musim tengkujuh, bekalan untuk peneroka hutan serta menu wajib bagi golongan berpendapatan rendah dahulu kala kerana harganya yang lebih murah berbanding lauk pauk lain.

Sesetengah daripada kita menanggap ikan kering sebagai bahan makanan marhein kerana proses awetan tradisional dan bau yang menusuk hidung.

Sebaliknya ikan kering merupakan sumber rezeki utama bagi masyarakat di Pantai Genting Tumpat. Permintaan yang tinggi dan berterusan dari dalam dan luar Kelantan telah menjadikan industri ikan kering sebagai ikon ekonomi bagi masyarakat Pantai Genting Tumpat.

 

20160309020905

 

Satu kilogram ikan kering berharga sekitar RM14 hingga RM17 bergantung kepada jenis ikan. Ini menjadikan harga pasaran ikan kering setanding dengan harga bahan mentah yang lain seperti ikan segar dan lebih tinggi daripada harga ayam.

Permintaan yang tinggi dan pasaran yang baik terhadap ikan kering kerana bahan makanan ini mempunyai pasaran yang tersendiri dan konsisten tanpa mengira peringkat usia.

Pantai Genting atau lebih dikenali sebagai Pantai Ikan Kering oleh penduduk sekitar sememangnya terkenal dengan perusahaan berasaskan hasil laut dan sumber protein.

Che Minah Salleh 51, pengusaha ikan kering yang merupakan anak jati kampung ini telah melibatkan diri selama hampir 20 tahun di dalam perusahaan ikan kering.

“Ini merupakan punca pendapatan keluarga saya selain menjadi salah satu punca pendapatan penduduk kampung yang bekerja dengan perusahaan ini”, ujar beliau sambil menyediakan proses awetan.

“Menyedari bahawa perusahaan ini mempunyai potensi pasaran yang luas, saya telah mempelbagaikan ikan-ikan kering dari jenis tamban, cencaru, gelama dan banyak lagi” katanya.

Tambahnya, tidak menjadi masalah untuk beliau memenuhi permintaan pengguna pada musim tengkujuh kerana beliau akan mendapatkan bekalan ikan dari Kedah. “Oleh kerana usia semakin lanjut, perusahaan ini diwariskan kepada anak- anak untuk diteruskan dan sekaligus untuk mengembangkan perusahaan ini keperingkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Gambaran dan bauan ikan kering yang dijemur di atas para akan sentiasa menyapa pemandangan pengunjung apabila berkunjung ke Pantai Genting yang menjadi salah satu lokasi tumpuan untuk mendapatkan ikan kering dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar.

 

Tinggalkan komen anda