Skip to main content
Berita UtaraKedahRencana & PendapatViral

Menanti Hujan Kapak Kanji Di Kedah

By 18 Mac 2016Mac 20th, 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Muhammad Rizal Redzuan  

ALOR SETAR, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Setelah beberapa bulan “berehat” selepas menuai, nelayan di Kedah sedang “merindui” air dilepaskan ke sawah bendang mereka. Sejak kali terakhir menuai pada Disember lalu, para pesawah kini bersedia untuk menanam semula padi.

Walau bagaimanapun, air hanya akan dilepaskan oleh pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 30 Mac ini. Kelewatan ini mencetuskan persoalan kenapa para pesawah tidak menabur benih padi terlebih dahulu, seperti yang biasa dilakukan pesawah melalui kaedah “menabur kering”?

 

3356e9a5-aa38-4035-a79c-d05f4671912e

Haji Harun Ahmad: menabur kering memerlukan air hujan untuk benih padi bercambah tunas.

 

Seorang pesawah di Sedaka, Haji Harun Ahmad 56,  berkata, kaedah menabur kering (menabur benih padi di sawah yang kering) memerlukan air hujan untuk benih padi bercambah tunas. Dalam keadaan sekarang, di mana tiada hujan ia tidak memungkinkan benih padi untuk bercambah, malah hanya merosakkan benih jika ditabur.

Harun yang ditemui semalam di sawah beliau berkata, apabila air dilepaskan nanti oleh pihak MADA, petani perlu menunggu beberapa hari kerana kebiasaannya air yang baru dilepaskan itu suhunya panas. Air yang panas ditambah dengan tanah sawah yang telah kering sejak sekian lama akan mencacatkan benih padi. Justeru itu, para petani di sini berharap air dilepaskan segera supaya mereka dapat menanam padi lebih awal.

Menurut Haji Harun, di Kedah tempoh antara proses menuai dengan air dimasukkan untuk menanam padi agak lama, iaitu sekitar empat bulan. Sebagai contoh, kali terakhir padi dituai adalah pada Disember dan air akan di lepaskan semula ke sawah pada 30 Mac ini. Ini berbeza dengan kaedah yang diamalkan di negeri Selangor, di mana air akan dilepaskan semula ke sawah sejurus selepas padi dituai, dan seterusnya memungkinkan pesawah di sana menanam padi tiga kali setahun.

 

d51a10cd-8bf3-4fca-91be-606318d604da

Di Kedah tempoh antara proses menuai dengan air dimasukkan untuk menanam padi agak lama.

 

Bagaimanapun, menurut seorang lagi pesawah yang ditemui, Haji Saidin Kassim, beliau hanya akan mula menanam padi pada pertengahan April. Ini kerana menurutnya amalan orang tua-tua, padi hanya boleh ditanam apabila hujan “kapak kanji.” Hujan kapak kanji ialah hujan awal sewaktu tengah panas pada penghujung monsun timur laut.

Haji Saidin berkata, titisan hujannya besar dan dipercayai membawa bersama baja untuk menyuburkan tanah swah. Ia ada kaitan dengan semangat padi, di mana padi yang ditanam awal atau sebelum hujan kapak kanji dipercayai mudah diserang penyakit padi dan hasilnya tidak banyak. Beliau meramalkan hujan ini akan berlaku kebiasaannya pertengahan April nanti, dan ketika itulah beliau akan mula menanam padi di sawahnya.

 

Tinggalkan komen anda