Skip to main content
HomeRencana & PendapatViral

Dr Zakir Naik Promosi Kedamaian, Bukan Keganasan

By 14 April 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Dr. Zakir Abdul Karim Naik merupakan seorang pendakwah kontemporari yang berasal dari Mumbai, India memiliki kebolehan berhujah dan berdebat yang mengagumkan. Teknik pidato dan debatnya sangat mantap dan mampu memukau pendengarnya. Walaupun beliau memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang perubatan dari Universiti Mumbai (India), namun beliau memiliki kepakaran dalam bidang perbandingan agama. Beliau memiliki kecerdasan ynag tinggi dalam mengingat ayat-ayat al-Quran dan hadis, malah kitab-kita agama Hindu, Kristian, Yahudi dan lain-lain. Itu kelebihan yang Allah kurniakan kepada beliau yang jarang-jarang dimiliki orang lain.

Kecintaan dan komitmennya kepada dakwah begitu tinggi sehingga  sanggup meninggalkan kariernya  sebagai seorang doktor perubatan semata-mata mahu memberikan tumpuan sepenuh masa dan tenaga untuk aktiviti dakwah. Dr Zakir memegang jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (IRF), Pengerusi IRF Educational Trust dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.

Kesungguhan dan keaktifan beliau dalam aktiviti dialog antara agama telah mengangkat namanya terkenal di persada antarabangsa. Ceramahnya sentiasa dinanti dan mendapat sambutan hangat di mana jua beliau kunjungi. Beliau pernah ke Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali, Mauritius, Australia, Afrika Selatan,  Singapura, Hong-Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) untuk tujuan berceramah, berdialog dan berdebat. Di negara beliau sendiri usahlah dikira kerana setiap kali berceramah maka ratusan ribu akan membanjirinya.

Belia juga mendapat sambutan hangat di Arab Saudi, United Arab Emirates, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan di beberapa negara lain. Di Malaysia, beliau pernah berceramah di UiTM, Shah Alam beberapa tahun lalu. Malah, beliau pernah menyampaikan ceramah di Johor Bahru, Dewan Pisa Pulau Pinang, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Kuantan. Namun, kehadirannya ke Malaysia baru-baru ini menimbulkan kontroversi yang dicetuskan oleh golongan yang tertutup mindanya.

Golongan terbabit yang kebanyakannya terdiri dari kalangan bukan Islam memprotes kehadiran beliau kerana kononnya akan mencetuskan sensitiviti agama. Walhal, sudah puluhan ribu dakwah beliau tidak pernah mencetuskan rusuhan agama. Paling menjengkelkan ialah apabila  Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy melabelkan Dr Zakir sebagai ‘syaitan’. Walaupun beliau telah mohon maaf namun kemarahan umat Islam di negara ini terhadapnya sukar dipadamkan. Sepatutnya mereka yang memprotes itu hadir ke sesi ceramah beliau untuk mendengar dan bertanya sendiri dengan penceramah hebat yang tidak sama sekali mempromosi keganasan.

Selain berceramah dan berdebat secara terbuka, Dr. Zakir juga  sering dijemput menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara. Ceramah dan debat yang beliau sampaikan beliau memberi tumpuan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam. Hujah-hujah yang dibawanya dalam memberikan jawapan terhadap segala persoalan yang dikemukakan bukan sahaja berdasarkan dalil-dalil agama tetapi juga bersifat ilmiah dan logik akal.

Selain menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih, beliau juga berupaya menggunakan dalil-dalil daripada Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan berbagai-bagai kitab dari agama lain. Dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya itu, beliau telah berjaya menarik ramai orang di serata dunia memeluk agama Islam. Jelas sekali bahawa kepetahannya berhujah dengan disokong fakta sains dan logik akal berupaya menarik hadirin dari pelbagai latar belakang agama mendengar mesej Islam yang disampaikan oleh beliau.

Beliau pernah mengadakan dialog bersama Dr.William Campbell (Amerika Syarikat) pada  April 2000. Beliau pernah digelar  sebagai ‘Deedat Plus’ (Deedat 2) pada tahun 1994. Pada Mei 2005 beliau menerima anugerah sebuah plag daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya kata-kata: “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah.” Dr. Zakir Naik  juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435M/2013 pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Selain berceramah, berdialog dan berdebat, beliau turut menghasilkan banyak buku. Antaranya,  ‘Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions’, ‘Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?’ , ‘Is The Qur’an God’s Word?’, ‘Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim’, , ‘Islam And Terrorism’, ‘Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated? dan banyak lagi.

Kebanyakan buku-buku yang ditulisnya serta ratusan video dan cakera padat (CD) ceramah beliau diterbitkan oleh RFI yang diasaskan pada 1991. RFI  merupakan pertubuhan rasmi yang berperanan menyebarkan dakwah serta mesej Islam kepada masyarakat.  IRF turut mengeluarkan  dokumentari beliau ke serata dunia melalui saluran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak.

Kesimpulan, Dr Zakir Naik adalah tokoh pendakwah yang diperakui di peringkat antarabangsa.  Pendekatan dakwahnya adalah melalui pidato dan debat yang bukan sahaja menggunakan dalil-dalil al-Quran dan hadis, malah turut berhujah dengan menggunakan kitab-kitab agama lain serta menggunakan fakta Sains dan logik akal. Beliau adalah tokoh pendakwah Islam yang menentang keganasan, sebaliknya mengajak sesiapa sahaja untuk menerima kebenaran dan kesempurnaan Islam.

 

Tinggalkan komen anda