Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaRencana & PendapatViral

Dilahirkan Dalam Keadaan ‘Fitrah’, Kanak-Kanak ‘Peniru Ulung’  

By 9 Jun 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 9 Jun (Malaysiaaktif Exclusif) – Kanak-kanak merupakan “Peniru Ulung” kerana apa yang diperhatikan, didengar dan diajarkan, itulah yang akan meresap dalam diri, terutamanya perkara yang berulang-ulang berlaku dan kelak menjadi akhlak mereka.

Keghairahan dalam berpolitik sehinggakan memburukkan di antara satu sama lain sememangnya merupakan satu cara yang tidak sihat jika ditanya kepada sesiapa pun dan apatah lagi perkara ini diperhatikan oleh kanak-kanak.

Menurut Pegawai Psikologi (Kaunselor Berdaftar) Politeknik Merlimau, Mohamad Hasbullah  Mustafa yang ditemui Malaysiaaktif baru-baru ini, anak-anak dilahirkan dalam keadaan FITRAH, iaitu suci bersih, maka di sana ada peranan ibu bapa / orang dewasa yang akan membantu membentuk karakter anak-anak tersebut. Jika akhlak buruk yang dipertontonkan kepada mereka nescaya itulah tingkahlaku yang kita tanamkan kepada mereka setiap masa.

 

9e77651c-c880-4009-b33d-9aa36871632a

“Apa yang diperhatikan, didengar,diajarkan, itu akan meresap dalam diri.” – Mohamad Hasbullah Mustafa / Foto: Fauzrina Hj Bulka.

 

“Pada mereka mungkin sukar untuk membezakan yang mana betul atau salah tentang tingkahlaku yang dipertontonkan kepada mereka kerana kadang-kadang tingkahlaku apabila seseorang itu berpolitik adalah kompleks untuk ditafsirkan,” ujarnya.

Tambahnya, sememangnya tingkahlaku buruk akan memberikan kesan yang buruk kepada sipenirunya apatah lagi yang meniru itu adalah seorang kanak-kanak. Jika tidak ditegur atau diperbetulkan ia akan membawa kepada tingkahlaku sehingga dia dewasa kelak.

“Manusia secara asasnya mempunyai dua bentuk pemikiran iaitu Pemikiran Sedar (Conscious Mind) dan Pemikiran Bawah Sedar (Subconscious Mind) dan di tengah-tengah kedua pemikiran ini terdapatnya Critical Factor yang bertindak sebagai “penapis” maklumat yang masuk kepada kedua keadaan ini. Critical Factor ini akan semakin menebal seiring dengan peningkatan umur seseorang,” ujar Hasbullah.

Menurutnya, Critical Factor bagi kanak-kank ini masih belum menebal lagi dan mengakibatkan apa sahaja maklumat yang diterima akan akan ditafsirkan sebagai baik dan diserap masuk ke dalam mindanya.

 

13406921_658877764292385_8532944508920715041_n

“Perlu ada role model yang tepat untuk mereka contohi.” – Foto: Muhammad Rizal Redzuan.

 

“Oleh itu, adalah penting pada usia mereka sebegini diberi pendedahan yang baik agar mereka membesar dengan persekitaran yang sihat akhlaknya. Perlu ada role model yang tepat untuk mereka contohi. Ibu bapa / orang dewasa boleh dan perlu menjadi “penapis” kepada kanak-kanak pada waktu ini bagi menerangkan yang mana baik dan tidak untuk mereka ikuti,”tegas beliau.

Tingkahlaku buruk, terutamanya, cara berpolitik yang sarat dengan memaki hamun, saling memburukan, fitnah, penuh beremosi, tidak matang dan sebagainya memberikan implikasi besar daripada sudut psikologi kanak-kanak.

Ditanya keburukan mendedahkan kanak-kanak dengan politik, Hasbullah berkata, usia muda mereka tidak sepatutnya didedahkan dengan iklim politik yang tidak sihat sebegini tanpa ada pemantauan daripada ibu bapa.

“Tidak menafikan bahawa mereka juga perlu didedahkan tentang perkara sebegini di usia muda dengan kaedah-kaedah penerapan elemen-elemen politik  yang betul, seperti ciri-ciri pemimpin yang baik, kemahiran berkomunikasi yang efektif, sikap cinta kepada negara, hak bersuara dan sebagainya,”ujarnya lagi.

Malaysiaaktif turut bertanyakan pendapat beliau akan penubuhan Mini Parlimen Malaysia sewaktu ketika dahulu, katanya, ia satu usaha yang bagus bagi mempersiapkan minda kanak-kanak untuk menceburi / terlibat kepada bidang politik secara serius apabila usia mereka menginjak dewasa.

“Walaubagaimana pun, kaedah pelaksanaan kepada usaha ini perlu dibuat dengan teliti agar mereka didoktrinkan dengan maklumat yang betul, cara berpolitik yang sihat dan matlamat pelaksanaannya difahami dengan jelas,” kata Hasbullah.

Mengenai umur sesuai untuk didedahkan kepada politik, kata Hasbullah beliau tidak ada jawapan yang khusus tentang umur yang jelas.

“Jika kita tengok takrifan kanak-kanak berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa mereka yang berumur 18 ke bawah dikategorikan sebagai kanak-kanak. Jadi jika terlalu lewat diberi pendedahan tentang perkara ini berkemungkinan akan menimbulkan sikap tidak cakna / tidak peduli kepada politik negara mungkin tinggi. Pendedahan secara berperingkat mungkin satu cara baik untuk memperkenalkan politik kepada mereka,” katanya.

Mengenai hak kanak-kanak, jawab Hasbullah, menjadi hak kepada kanak-kanak juga untuk dipersiapkan kepada mereka suasana politik yang sihat, matang, didedahkan dengan sistem politik yang betul dan maklumat-maklumat tepat berkenaan keadaan politik semasa kerana mereka bakal pemimpin masa depan negara pewaris kepada kerajaan hari ini.

“Seloknya mereka dilibatkan juga dalam memberikan pandangan kepada  proses menggubal sesuatu dasar atau keputusan, khususnya berkaitan dengan diri mereka,” jelasnya.

Harapannya, jika kita ingin menjadikan negara ini sebuah negara yang maju pada masa hadapan, maka kedudukan kanak – kanak pada hari ini harus dipersiapkan dengan kemajuan yang betul secara holistik merangkumi spiritual, sahsiah, pemikiran dan fizikalnya.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda