Skip to main content
Rencana & Pendapat

Bomba Curah Kepakaran, Khidmat Kemanusiaan

By 9 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh Muhammad Iqbal Ikhwandi Mat Zin/ Foto: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 

PUTRAJAYA, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Filem berjudul Ladder 49 bukanlah satu filem ‘pecah panggung’ seperti filem-filem Hollywood yang lain. Walaupun begitu, filem lakonan John Travolta dan Joaquin Phoenix ini sarat dengan mesej tersendiri yang wajar dihayati oleh masyarakat.

Walapun filem ini telah diterbitkan lebih 10 tahun dahulu, namun intipatinya masih segar, berdaya tahan dan bersesuaian dengan kerjaya sebagai pasukan penyelamat terutamanya anggota bomba.

Di Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diletakkan sebagai salah satu agensi penting di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang kini diterajui oleh menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Hj. Mohammad Mentek.

Khidmat anggota bomba tidak kurang hebatnya berbanding dengan pasukan-pasukan keselamatan yang lain dengan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka juga melibatkan nyawa anggota dalam menyelamatkan nyawa orang awam.bomba 15

Tugas anggota bomba sebenarnya bukan sahaja memadamkan kebakaran seperti yang sering bermain dalam fikiran kita semua, malah lebih luas merangkumi beberapa aspek yang kita sebagai orang awam sendiri mungkin tidak pernah sedar selama ini.

Bencana Alam – Banjir Besar

Selain melaksanakan tugas berkaitan dengan kebakaran, JBPM juga melaksana khidmat-khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya sebarang bencana.

Dalam konteks bencana, bencana banjir besar yang menimpa beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Perak dua tahun lepas masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

Sepanjang proses menyelamat mangsa-mangsa banjir, agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan termasuk JBPM sendiri telah dikerah untuk memberi bantuan berterusan bagi menjamin keselamatan orang awam.

Bagi JBPM, kesungguhan para anggota bomba yang membantu pada ketika itu dapat dilihat melalui akaun media-media sosial rasmi JBPM iaitu akaun Facebook ‘Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia’ dan juga akaun Twitter ‘@bombaJBPM’ yang memaparkan secara langsung operasi-operasi menyelamat mangsa banjir.

Bencana Alam – Gempa Bumi

Selain itu, kita digemparkan lagi dengan fenomena gempa bumi yang menggegarkan Ranau, Kota Kinabalu dan beberapa kawasan lain di Sabah. Seperti yang kita tahu, Malaysia sebelum ini jarang dilanda gempa bumi dan hanya beberapa kali dilanda gempa bumi kuat.

Namun, tragedi gempa bumi pada 5 Jun 2015 lalu amat mengejutkan banyak pihak dengan mencatatkan beberapa kematian termasuk para pendaki dan malim Gunung Kinabalu.

Anggota bomba adalah antara pasukan penyelamat yang telah ditugaskan untuk mencari dan menyelamatkan mangsa yang berada di Gunung Kinabalu. Inilah cabaran terkini dalam bentuk bencana alam yang perlu dihadapi oleh para anggota keselamatan termasuklah anggota bomba sendiri.

Selaras dengan perkembangan kejadian beberapa gempa bumi kecil susulan selepas gempa bumi tersebut, pastinya perkara ini juga melibatkan keselamatan bangunan termasuklah rumah kediaman, rumah kedai dan ruang pejabat.

Keselamatan bangunan juga termasuk di bawah ruang lingkup tugasan JBPM dan ini membuktikan keselamatan harian orang awam tidak dapat lari daripada fungsi JBPM yang turut melakukan inspektorat dan pemeriksaan bangunan dari semasa ke semasa.bomba 7

Cabaran Pasukan Penyelamat

Berbalik kepada plot-plot filem Ladder 49, mesej dan moral penuh makna pemegang watak utama dan rakan-rakannya selaku anggota bomba ialah semangat berpasukan, bekerja tanpa mengira masa dan sanggup bergadai nyawa demi  melaksana amanah mereka iaitu untuk menjaga keselamatan dan menyelamatkan nyawa orang ramai.

Secara realitinya, kesungguhan pasukan penyelamat di Malaysia merentas semua agensi juga tidak berbeza malah tidak kurang seperti paparan dalam filem-filem keperwiraan masyarakat seperti filem Ladder 49 tersebut.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia janganlah menangguk di air keruh dengan mudah menuding jari dan mencari kelemahan dalam apa-apa jua usaha menyelamat yang melibatkan bencana alam.

Akhir sekali, kita sebagai rakyat Malaysia perlu sedar bahawa anggota-anggota pasukan keselamatan termasuk anggota bomba sendiri sentiasa mengikat ikrar untuk memberikan khidmat terbaik kepada orang awam tanpa mengharapkan balasan.

Melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan juga merupakan satu ibadah yang sepatutnya dipandang mulia oleh kita semua sebagai masyarakat. Kenanglah jasa dan usaha para anggota bomba sebagai salah satu sumber inspirasi tambahan kepada mereka.

 SF

Tinggalkan komen anda