Unjuran Kesan Cadangan Kenaikan Caj Air Akuakultur

IMG-20160619-WA0005

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI BESAR, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Separuh daripada keperluan ikan negara ini bergantung kepada hasil akuakultur. Walaubagaimana pun tidak seperti ikan laut, ikan akuakultur perlu diberi makan dan dijaga.

Ini meletakkan para pengusaha dengan cabaran seperti kenaikan kos makanan, penyakit dan kesukaran mendapatkan benih ikan.

Demkian menurut Menteri di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semasa program Isu Caj Penggunaan Air Bagi Aktiviti Akuakultur (Caj Abstraksi Air) Jumaat lepas di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

“Masyarakat perlu faham akuakultur bukan satu bidang yang mudah dan mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutamanya kenaikan kos dan harga pasaran yang tidak menentu.”

 

IMG-20160619-WA0007

Masyarakat perlu faham akuakultur bukan satu bidang yang mudah.

 

Terbaharu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan surat berhubung kenaikan caj air untuk industri akuakultur. Sehubungan itu, menurut Shabery, walaupun soal air dalam kuasa kerajaan negeri, tetapi air ini bukan air yang dirawat, dan dibimbangi lama kelamaan, kalau hujan turun pun  rakyat akan dikenakan bayaran.

Kerajaan Negeri Selangor juga mencadangkan untuk mengenakan tol RM1 untuk satu meter persegi bagi sangkar ikan di laut. Bagi yang mempunyai satu hektar sangkar, mereka perlu membayar caj sehingga RM10,000.00 setahun.

Menurut Shabery lagi, kerajaan sentiasa memandang serius masalah yang timbul di dalam industri akuakultur. Dalam tempoh lima tahun ini, pelbagai isu timbul dalam industri seperti penyakit Early Mortality Syndrome (EMS) yang menjejaskan ternakan udang laut, kematian kerang, isu halal dan tanggapan dalam pengeluaran ikan air tawar, seperti keli dan ‘import alert’ untuk import udang oleh pihak Amerika Syarikat.

Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan fenomena El-Nino panas dan kering yang menyebabkan masalah kekurangan air dan peningkatan suhu air ternakan.

Justeru, Jabatan Perikanan Malaysia terus melaksanakan dan memperkemaskan sistem penyampaian melalui peranan penyelidikan perikanan, program persijilan, persampelan dan pemantauan ladang, bantuan saguhati kepada penternak terjejas bencana dan sebagainya.

Cadangan untuk mendapatkan pengecualian daripada caj air tidak dipersetujui oleh pihak negeri, namun ruang untuk perundingan masih ada bagi menjelaskan perkara ini atau sekurang-kurangnya bagi mendapatkan keadaan menang-menang di antara penternak dan Kerajaan Negeri agar tidak terkesan dengan peningkatan kos pengeluaran.

 

IMG-20160619-WA0006

“Kita perlu memastikan peningkatan pengeluaran daripada akuakultur…”

 

Di Selangor terdapat seramai 1,037 orang penternak dengan jumlah pengeluaran sebanyak 26,143 tan metrik ikan bernilai RM270.28 juta. Daerah Sabak Bernam mempunyai seramai 379 orang penternak dan menyumbang sebanyak 971 tan metrik ikan.

Kawasan Parlimen Sungai Besar, mempunyai seramai 176 orang penternak dan 47% daripada bilangan penternak di Daerah Sabak Bernam mengusahakan ternakan akuakultur seluas 1,331.42 hektar.

Kawasan ini menghasilkan sejumlah 353 tan metrik ikan melalui ternakan sistem kolam air tawar, kolam air payau, sangkar, ternakan kerang dan tangki simen. Ini menunjukkan bahawa Sungai Besar mempunyai potensi untuk memberi sumbangan kepada pengeluaran ikan negara.

Sektor Agro-makanan merupakan sektor yang penting dan strategik di mana pihak MOA telah menetapkan sasaran untuk jaminan kecukupan bekalan makanan dan memenuhi ekspektasi rakyat, kumpulan sasar dan kepimpinan negara.

Bagi sektor pertanian, cabaran pada hari ini bukan hanya kepada jaminan kecukupan bekalan makanan, tetapi lebih besar daripada itu, iaitu “Kedaulatan Makanan”.

“Kita perlu memastikan negara mampu mengeluarkan makanan yang cukup memenuhi keperluan rakyat yang berhak mendapat makanan pada kuantiti, kualiti dan harga yang mampu. Kita perlu memastikan peningkatan pengeluaran daripada akuakultur mahupun perikanan tangkapan bebas daripada pergantungan kepada unsur import, kepakaran dan tenaga kerja asing”.

Defisit perdagangan produk agro makanan kini mencecah RM17 bilion. Ini disebabkan oleh nilai eksport sebanyak RM25.6 bilion lebih rendah berbanding nilai import berjumlah RM42.6 bilion. Sementara itu, bagi sektor perikanan, defisit perdagangan mencecah hampir RM1 bilion.

Sasaran industri akuakultur adalah untuk mengeluarkan produk yang berkualiti, selamat dan diterima oleh pasaran domestik dan antarabangsa. Bagi tujuan peluasan pasaran, pihak industri perlu mematuhi tuntutan pasaran antarabangsa seperti SPS, keperluan EU, persijilan dan lain-lain.

Shabery amat berharap dengan perkembangan industri ini, bekalan ikan dalam negara dapat dipertingkatkan dan harga ikan menjadi lebih murah pada masa yang sama kos pengusaha tidak meningkat.

Seorang pengusaha ikan akuakuktur Vijay Kumar, 63, berkata beliau berhadapan dengan caj RM5,000 sebulan jika caj ini dilaksanakan. Menurut Vijay, beliau yakin kebanyakan pengusaha kecil dan sederhana akan terpaksa menutup operasi merka. Ini kerana, air adalah faktor utama dalan industri ini. Beliau berharap kerajaan negeri Selangor membatalkan hasrat untuk mengenakan caj ini.

Bagi pengusaha ikan keli seluas 300 ekar di Hulu Selangor, Tan Kim Hong, harga ikan keli semakin rendah manakala kosnya pula semakin meningkat, dengan pengenaan caj baharu ini, beliau tidak berupaya dan menghadapi kesukaran akan perusahaan akuakulturnya.

Pengerusi persatuan Penternak Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jaafar berkata, industri akuakultur merupakan industri yang mudah terdedah kepada pengaruh luaran seperti penyakit dan perubahan yang berlaku kepada persekitaran.

“Kita melihat bagaimana penyakit Early Mortality syndrome (EMs) telah menyebabkan kerugian yang besar iaitu lebih daripada RM1bilion kepada industri udang laut. Malah lebih daripada 30% pengusaha tidak beroperasi disebabkan masalah ini. Begitu juga dengan ternakan kerang. Negeri Selangor yang pernah mengeluarkan kerang sehingga lebih 40 ribu tan metrik pada tahun 2010, kini hanya mengeluarkan 3.3 ribu tan metrik pada tahun 2015”.

Caj abstraksi air kepada Industri Akuakultur telah dibangkitkan sejak awal tahun ini. Pertimbangan sewajarnya perlu diberikan kepada Industri akuakultur yang telah terbeban dengan isu penyakit dan peningkatan kos input seperti makanan ikan dan caj abstraksi air yang bakal dilaksanakan di negeri ini.

Impak kepada kos pengeluaran ikan akan terkesan dan akan mengurangkan daya saing produk Malaysia di pasaran antarabangsa. Di pasaran tempatan pula, harga produk ikan mungkin terpaksa ditingkatkan untuk mengimbangi kos dan mengelakkan kerugian di pihak penternak.

 

-DK/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...