Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

SUKMA XVIII – Minat Cetuskan Semangat Tinggi Sukarelawan

By 25 Julai 2016Tiada komen5 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)

KUCHING, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Penganjuran temasya sukan berskala besar memerlukan perancangan yang rapi, tersusun dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi, organisasi dan jabatan kerajaan serta awam.

Begitu juga dengan penganjuran sukan berprestij negara, Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII 2016 yang diadakan di Sarawak Bumi Kenyalang bermula 19 Julai sehingga 31 Julai ini. Merupakan kali kedua Sarawak menjadi tuan rumah setelah 26 tahun, SUKMA pada kali ini dilihat amat meriah dan diurus dengan rapi.

Menteri Sukan dan Belia, Khairy Jamaluddin pada Majlis Perasmian SUKMA XVIII 2016 pada Sabtu, memuji negeri Sarawak atas penganjuran temasya SUKMA pada kali ini yang berjaya menyerlahkan ciri-ciri 1Malaysia yang sebenar.

“Negeri Sarawak sekali lagi telah tampil ke hadapan untuk mempamerkan segala yang terbaik yang ada di Malaysia. Perpaduan dalam kepelbagaian. Persamaan rakyat. Semangat kesukanan yang tinggi dan juga semangat perpaduan negeriyang tiada tandingan,” ujar Khairy.

Bagi merealisasikan kenyataan Khairy tersebut, SUKMA XVIII 2016 menggunakan khidmat Sukarelawan bagi melancarkanperjalanan sepanjang temasya ini berlangsung. Terbuka kepada semua rakyat Malaysia, mereka yang berminat hanya perlu mengisi borang secara dalam talian dan kemudian menunggu panggilan sekiranya berjaya.

Salah seorang Sukarelawan yang ditemui di hadapan Stadium Akuatik semalam, Syahidah Izzah Dora Mat Samoin, 24, berkata dia sememangnya menanti-nantikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada temasya berprestij ini.
“Ini merupakan peluang saya untuk melibatkan diri dalam SUKMA yang merupakan julung-julung kali diadakan diSarawak. Kalau nak tunggu yang seterusnya, saya perlu menunggu lagi 26 tahun. Tidak tahu lah sama ada umur masih panjang lagi atau tidak ketika itu,” ujar Izzah sambal berseloroh.

Izzah yang bekerja sendiri berkata SUKMA XVIII 2016 ini merupakan peluang keemasannya untuk mendapat pengalaman berharga di samping mendapat pengesahan melalui sijil yang akan diberikan.
Kata-kata Izzah turut disokong oleh rakan sukarelawannya, Maisarah Shafiqah Mazalan, 19 yang merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan di Universiti Malaysia Sarawak. Maisarah juga menginginkan sijil tersebut yang akan membantu dirinya pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, itu bukanlah tujuan utama dirinya menyertai Sukarelawan SUKMA XVIII 2016.

“Saya ingin mendapatkan pengalaman dan melihat sendiri bagaimana sebuah temasya bertaraf kebangsaan dijalankan secara hands-on berbanding hanya melihat menerusi kaca televisyen. Seperti kata Izzah, Sarawak hanya akan menjadi tuan rumah 26 tahun akan datang dan itu akan mengambil masa yang amat lama,” jelas Maisarah.

Menurut Izzah dan Maisarah, ini merupakan kali pertama mereka menjadi seorang sukarelawan untuk temasya sukan dan mereka amat menyukai tugasannya setakat ini. Sebelum ini, Izzah pernah menjadi sukarelawan untuk pilihan raya manakala Maisarah pula bertugas pada Hari Sukan Negara 2015.

Bertugas dalam Jawatankuasa Pengangkutan dengan ahli pasukan seramai lebih 40 orang, peranan mereka adalah untuk memastikan kesemua 5794 atlet sampai ke lokasi pertandingan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kami perlu mengendalikan logistik para atlet SUKMA dengan memastikan mereka sampai ke lokasi pertandingan dariPerkampungan Sukan (tempat atlet menginap). Waktu mereka balik pun, kami perlu pastikan mereka menaiki bas yang betul untuk pulang dengan ahli yang mencukupi dan tiada barangan mereka yang tertinggal di tempat pertandingan.

“Sehingga hari ini, semua atlet memberikan kerjasama yang baik. Dari segi tugasan, kami tiada masalah kerana kami sedang menikmati pengalaman yang berharga ini tanpa sebarang tekanan. Cabaran kami setakat ini hanyalah cuaca yang buruk. Hujan yang turun dengan lebat menyukarkan perjalanan program yang telah ditetapkan namun kami berjaya mengharunginya.

“Beberapa hari yang lepas, hujan turun dengan sangat lebat dan kami tetap hantar semua atlet Hoki di Stadium Hoki ke bas yang akan membawa mereka pulang ke Perkampungan Sukan.

“Maklum balas yang diterima daripada para atlet tersebut ialah selama mereka terlibat dengan SUKMA, ini merupakan kali pertama mereka dihantar sehingga ke pintu bas. Kejadian tersebut membuatkan kami amat berbangga dapat terlibat dengan SUKMA kali ini,” jelas Izzah.

Tambah mereka, pengalaman mereka setakat ini membuka mata dan minda mereka terhadap peranan organisasi yang terlibatdalam temasya ini terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkait rapat dengan Jawatankuasa Pengangkutan.

“Selain itu, SUKMA XVIII 2016 ini juga menyebabkan kami lebih peka akan prestasi sukan di Malaysia, lebih-lebih lagi di Sarawak sendiriSebelum ini, tidak banyak yang kami tahu tentang atlet sukan di Malaysia. Memang tidak ambil tahu pun tapi kini kami dapat berkenalan dengan para atlet dan melihat dengan mata kepala sendiri sukan yang dipertandingkan serta mengendalikan para atlet tersebut, jadi secara tidak langsungtelah membuka mata kami,” ujar Izzah dan Maisarah serentak.

Mempunyai waktu kerja yang tidak menentu tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan. Malah, mereka juga telah membuat perancangan untuk terus menjadi sukarelawan dengan berdaftar untuk Kejohanan Sukan Paralimpiad Malaysia XVIII pada Ogos ini dan Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos 2017.

“Kami sangat gembira dapat terlibat dengan temasya ini. Walaupun penat tetapi berbaloi. Sebelum ini, kami hanya sebagai penonton, namun kali ini, kami dapat mengetahui sendiri bagaimana perjalanan sesebuah temasya sukan, terutamanya di sebalik tabir.

“Dan kami dapat akses ke tempat-tempat yang kami tidak dapat akses sebagai orang awam. Kami dapat melihat bilik persalinan pemain, bilik media yang hanya dapat diakses oleh petugas sahaja,” ujar Izzah.

“Kami juga dapat melihat gerak kerja pihak Sekretariat yang boleh menjadi rujukan berharga di masa hadapan. Selain itu, saya juga kini sudah mahir menggunakan mesin fotokopi,” gurau Shafiqah.

Menariknya, SUKMA XVIII 2016 ini menyaksikan ramai rakyat Malaysia yang sanggup meluangkan masa termasuk mengambil cuti semata-mata untuk bertugas sebagai Sukarelawan temasya ini. Bukan hanya penduduk di sekitar Kuching sahaja, tetapi ada juga penduduk dari Sibu dan Johor turut menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada Sukarelawan SUKMA kali ini.

Walaupun tempat penginapan, pengangkutan dan makan minum untuk para Sukarelawan tidak disediakan, itu sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan. Bagi Sukarelawan luar dari Kuching, mereka menyewa atau menumpang di rumah saudara dan rakan sepanjang berlangsungnya SUKMA ini. Elaun yang diberikan berbeza mengikut skop kerja masing-masing, bermula daripada RM50 hingga RM100 secara harian.

Sementara itu, menariknya, Izzah turut ditemani abang dan adiknya sebagai Sukarelawan SUKMA XVIII.
“Sepatutnya, kami empat beradik menyertai Sukarelawan ini tetapi adik bongsu tidak dapat menghadirkan diri kerana ada peperiksaan akhir. Jadi, buat masa ini hanya kami tiga beradik. Abang dan adik terlibat di Pusat Media di bawah kelolaan Jabatan Penerangan Malaysia,” katanya.

 

-SF

Tinggalkan komen anda