Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Sedih Jika Jalur Gemilang Tidak Dihormati-Sejarawan Sibu

By 24 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Rosman Zaini (Sibu) / Foto: Redzuan Md Salleh

SIBU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – “Amat malang, setiap tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan, rakyat seakan-akan dipaksa untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Sepatutnya tiba sahaja bulan Ogos, rakyat sudah tahu akan tanggungjawab masing-masing.

“Pejuang dahulu, apabila disebut Bendera Malaysia, jiwa mereka amat sensitif dan teramat sedih jika bendera negara tidak dihormati. Kita sewajarnya menunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan simbol perpaduan dan tumpuan taat setia rakyat kepada negara, Jalur Gemilang.

Haji Hamden Haji Merais atau lebih dikenali sebagai Pak Den, seorang tokoh sejarah tempatan Sibu berkata demikian ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif di pejabatnya di Bangunan WTK, Sibu baru-baru ini.

Kibaran Jalur Gemilang. Foto: Wazari Wazir

Kibaran Jalur Gemilang. Foto: Wazari Wazir

 

Tambahnya, beliau masih ingat ketika bendera Sarawak diturunkan pada 1 Julai 1946 di Pangkalan Lembaga Pelabuhan Sibu semasa penyerahan secara Rasmi Sarawak kepada Kerajaan British.

“Ketika bendera Malayan Union dinaikkan dan bendera Sarawak diturunkan, bendera Sarawak telah dilipat secara terhormat dan diusung oleh pejuang Melayu Sibu ketika itu iaitu Osman Dollah terus ke Pejabat Pergerakan Pemuda Melayu Sibu(PPS) No. 2, di Kampung Datu Lama pada masa itu. Bendera tersebut dinaikkan semula oleh Pergerakan Pemuda Melayu Sibu di situ,” jelasnya.

Pak Den lahir pada 3 Disember 1938, di rumah bernombor 10, Kampung Haji Adam, Sibu (kini Kampung Hilir, Sibu) mula berminat mengumpul bahan dan dokumen sejarah Sibu khususnya dan Sarawak amnya sejak di bangku sekolah ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Sibu.

Oleh sebab minat dalam sejarah, Pak Den kini menjadi bahan rujukan bukan sahaja oleh orang ramai malah para pengkaji sejarah di universiti-universiti tempatan yang sering meminta khidmat nasihatnya tentang sejarah Sibu.

Sejarawan Sibu, Haji Hamden Haji Merais atau dikenali sebagai Pak Den

Sejarawan Sibu, Haji Hamden Haji Merais atau dikenali sebagai Pak Den

 

“Jiwa saya amat sensitif apabila bercakap soal sejarah perjuangan kemerdekaan oleh anak-anak tempatan Sibu pada 1946 sehingga 1950. Semangat dan jiwa pejuang Sibu ketika itu seperti  Rosli Dhoby, Bujang Suntong, Awang Rambli dan Morshidi Sidek dan rakan-rakan lain amat kental untuk mempertahankan Sarawak daripada diserahkan kepada pihak British.

“Sudahlah negeri kita dijajah oleh pemerintah keluarga Brooke, pada masa itu juga mahu diserahkan kepada pihak Kerajaan British. Maka, tidak hairanlah Gabenor British kedua, Sir Duncan Stewart telah dibunuh oleh Rosli Dhoby pada 3 Disember 1949,” ujar Pak Den.

Pak Den turut mengingatkan generasi muda agar mereka tidak mudah lupa akan hasil perjuangan para pejuang Sarawak yang banyak berjasa kepada negara.

Foto: Nurrol Hamsinar Kamaruddin

Foto: Nurrol Hamsinar Kamaruddin

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang telah banyak mengingatkan generasi sekarang tentang sejarah Sarawak terutama dengan menjadikan tanggal 22 Julai sebagai cuti umum Sarawak. Tarikh tersebut amat signifikan dengan rakyat Sarawak kerana ketika itu Sarawak bebas daripada cengkaman pemerintahan kerajaan British dan diberikan peluang kepada anak Sarawak untuk mentadbir sendiri negeri mereka ”, ujarnya lagi.

 

-SF

Tinggalkan komen anda