Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

LRT3 Beri Manfaat Kepada Dua Juta Penduduk

By 25 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto Oleh : Mohamad Zairin & Siti Rasidah (Shah Alam)

SHAH ALAM, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – “Merangkumi jarak 37 kilometer dengan 26 stesen antara Klang dan Bandar Utama, Projek Transit Aliran Ringan (LRT3) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta orang di kawasan koridor barat Kuala Lumpur dan Lembah Klang apabila siap sepenuhnya pada tahun 2020”.

Demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam petang semalam.

“Dengan tambahan LRT3 di bawah Pelan Pembangunan Rel Bandar, saya yakin bahawa kita boleh mewujudkan satu sistem pengangkutan awam yang cekap, berkesan, bersepadu dan mapan serta pada masa yang sama meningkatkan tahap sosio ekonomi di Malaysia dan menggalakkan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat”, tegas beliau.

Beliau juga berkata, “LRT3 akan dapat mengangkut lebih ramai penumpang berbanding pengangkutan awam lain dengan kapasitinya 36,720 penumpang dalam tempoh sejam dan sehala.Ini akan meningkatkan lagi mobiliti dan sambungan kepada rakyat yang tinggal di kawasan koridor barat Lembah Klang”.

“Apabila LRT3 siap pada tahun 2020, koridor barat Lembah Klang akan berbeza daripada apa yang ada ketika ini di mana pada masa ini, lebih 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara datangnya dari Kuala Lumpur dan Selangor”, ujar beliau lagi.

Beliau juga mengumumkan bahawa penumpang yang menggunakan rangkaian LRT dan Monorel Rapid KL akan diberi diskaun 50 peratus dari pukul 6 pagi hingga 7 pagi bermula 16 September 2016, dan ini akan memberi manfaat kepada lebih 50,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini setiap hari.

“Saya pasti ini akan menyumbang kepada pengurangan kesesakan di waktu puncak pada pengangkutan LRT dan Monorel dan sebagai penumpang boleh mengambil kesempatan daripada diskaun ini”, ujar beliau.

LRT3 adalah salah satu projek di bawah Pelan Pembangunan Rel Bandar dan akan menghubungkan dua juta penduduk antara Bandar Utama dan Klang dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020.

Turut hadir bersama adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh bin Haji Omar dan juga Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz.

-DK

Tinggalkan komen anda