Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahViral

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bantu OKU Jabi

By 25 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Kamariah Haji Hussain

KOTA SETAR, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang baharu bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) sekitar Mukim Jabi kini mula beroperasi.

PDK Angsana yang berada dibawah seliaan Pejabat Kebajikan Daerah Pokok Sena dan terletak di No.197 & 198, Taman Angsana ini mempunyai seramai 18 orang pelajar walaupun 30 orang telah mendaftar di sini sebelum ini. Waktu operasi dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari.

IMG-20160825-WA0009

Menurut Pegawai Penyelaras Pembangunan Unit OKU Pejabat Kebajikan Daerah Pokok Sena, Mohd. Zairi bin Hashim, pusat ini memberi fokus kepada kanak-kanak OKU yang baharu lahir hingga dewasa selagi mereka boleh menyertainya. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak OKU yang tidak terpilih untuk tamat Kelas Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan untuk terus belajar.

Katanya lagi, pusat ini membantu kanak-kanak OKU mengurus diri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

Intan Jasmin Abd. Manaf ibu kepada Mohd Ikwan Iman, salah seorang kanak-kanak OKU yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana dengan adanya pusat ini, beliau dapat mengurangkan bebanan kos penjagaan anaknya, selain lebih selamat kerana di bawah jabatan kerajaan.

Menurut Intan, sebelum ini, anaknya di tempatkan di sebuah rumah asuhan kanak OKU di Kuala Lumpur dengan yuran bulanan yang tinggi. Beliau mendakwa anaknya pernah diabaikan, seperti lewat diberi makan walhal anaknya ketika itu tidak pandai bercakap dan payah untuk meminta makanan apabila dia kelaparan.

Bendahari Komuniti 1Malaysia (K1M) Jabi, Sahlan Arshad melahirkan rasa syukur kerana dengan adanya pusat ini, ibu bapa tidak perlu lagi mencari tempat asuhan lain bila anak-anak OKU mereka tidak terpilih untuk masuk kelas pendidikan khas yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan.

PDK Angsana ini mempunyai seorang Penyelia, iaitu Mohamad Rafiz bin Rahim dan empat orang petugas bagi membantu mendedahkan kanak-kanak OKU kepada pergaulan dunia luar agar mereka tidak hanya terkongkong di dalam rumah.

Antara latihan yang disediakan di sini termasuk menulis, mendengar, mengatur, menyusun serta membentuk kemahiran pergerakan tangan, berjalan, bermain, membasuh, menyimpan, mengurus diri, penggunaan bahasa, sukan dan rekreasi, kesenian dan kebudayaan, latihan pra vokasional, terapi muzik, terapi kuda dan bengkel kraftangan.

 

-MRR/AAS

Tinggalkan komen anda