Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

Malam Genta Merdeka Merakyatkan Seni dan Budaya

By 29 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Fasharina Kholil / Foto: Ahmad Fahmi Huweidi Zamani & Azmi Yeop (Lenggong)

LENGGONG, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Kira-kira 200 orang penduduk tempatan hadir menyaksikan Malam Genta Merdeka di Pentas Terbuka, Majlis Daerah Lenggong.

Menurut salah seorang peserta, Ahmad Fahmi Huweidi Zamani, 27, sebagai penggemar sastera dan bahasa, dia berasa teruja kerana turut sama diundang untuk mendeklamasikan sajak di majlis tersebut.


“Saya juga merasa kagum dengan penglibatan peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum,” kata Ahmad Fahmi yang merupakan mahasiswa Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong mendeklamasikan sajak nukilan Usman Awang berjudul Jiwa Hamba.

Ahmad Fahmi dan Nuraisyah ketika persembahan mereka.

Sementara itu, salah seorang peserta lagi Siti Nuraisyah Shamsulbahrim, 18, berkata dia berasa bertuah kerana terpilih untuk mendeklamasikan sajak di dalam majlis tersebut. 

“Menerusi majlis sebegini, saya dapat sebuah pengalaman baru selain dapat menimba ilmu daripada pemuisi berpengalaman,” ujar Nuraisyah yang teruja menyaksikan persembahan gamelan oleh para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong.


Malam Genta Merdeka merupakan anjuran bersama Majlis Daerah Lenggong dengan kerjasama Angkatan Seni Prihatin Hulu Perak (ASPRI) dan Communication for Behavioural Impact (COMBI), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jabatan Kesihatan. 

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Faizal Nizam Md. Nor, program ini bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti seni dan budaya serta menyerlahkan lagi kepelbagaian seni, budaya dan bahasa di negara ini.


“Program ini memainkan peranan untuk menyemai kepelbagaian budaya dan bahasa dan lebih membanggakan ia turut disertai oleh setiap kaum iaitu Melayu, Cina dan India,” katanya ketika merasmikan Malam Genta Merdeka pada Jumaat lalu.

Tinggalkan komen anda