Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Pesta Tanglung Air Kala Pupuk Semangat 1Malaysia

By 20 September 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Fasharina Kholil / Foto: Mat Darus Adam

LENGGONG, 20 Sept (Malaysiaaktif) – Bagi meraikan sambutan perayaan Pesta Kuih Bulan, Komuniti 1Malaysia (K1M) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Ayer Kala menganjurkan Pesta Tanglung, malam tadi.

Majlis yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Ayer Kala itu dihadiri oleh lebih 300 penduduk setempat.

Menurut Pengerusi K1M/KRT Kampung Baru Ayer Kala, Chow Tuck Hoi, Pesta Kuih Bulan yang disambut pada hari ke-15 mengikut kalendar Cina itu, merupakan salah satu perayaan terpenting bagi masyarakat Tionghua selain daripada Tahun Baru Cina.

“Program ini dianjurkan pada setiap tahun bertujuan bagi meraikan Pesta Kuih Bulan. Selain itu, pesta ini juga untuk memupuk semangat perpaduan dan meraikan kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” ujarnya.

Jelasnya, sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Cina untuk menggantung tanglung semasa malam perayaan tersebut. Chow turut menambah, warna dan tempat tanglung digantung membawa maksud tertentu.

“Tanglung digantung untuk mengalu-alukan tetamu, menghebahkan kelahiran, kematian dan juga pada musim perayaan. Tanglung berwarna merah adalah simbol kepada tuah, nasib yang baik dan tenaga. Selalunya, tanglung digantung di pintu rumah apabila tiba musim perayaan, perkahwinan atau kelahiran,” jelas Chow.

Dalam majlis yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris menyampaikan hadiah kepada pememang Pertandingan Mencipta Tanglung yang disertai para pelajar SJK (C) Ayer Kala.

  

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda