Skip to main content
GlobalHomeViral

Ketepi Perbezaan Bagi Aman Berpanjangan Di Syria – Zahid

By 22 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

NEW YORK, 22 Sept  — Pihak berkepentingan dalam konflik di Syria perlu mengatasi perbezaan mereka dan berusaha ke arah keamanan berpanjangan di negara yang bergolak itu, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata mempunyai perbezaan dalam situasi seperti itu adalah dijangka, tetapi apa yang lebih penting mendapatkan penyelesaian muktamad untuk mengatasi kemelut yang dihadapi Syria.

“Kita tidak boleh merangka satu demi satu resolusi ke atas Syria yang akhirnya hanya kata-kata tanpa melakukan apa-apa, iaitu tanpa sebarang penyelesaian,” katanya kepada media Malaysia pada Rabu.

Terdahulu beliau berucap dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai situasi di Syria pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Ahmad Zahid berkata Malaysia amat prihatin mengenai kesan kemanusiaan akibat peperangan di Syria terhadap wanita dan kanak-kanak serta golongan lemah yang lain.

Ahmad Zahid juga mengutuk serangan terhadap konvoi bantuan kemanusiaan PBB yang bertujuan untuk membantu rakyat Syria yang berada dalam kesulitan.

Sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, beliau berkata Malaysia berpendapat semua keputusan dan resolusi yang diputuskan oleh badan itu perlu dihormati.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata kuasa-kuasa besar mungkin memilih untuk menggunakan kuasa veto mereka dalam menangani isu Syria.

“Persoalannya ialah, apakah perlu menggunakan kuasa veto jika kita tidak berjaya menyelesaikan masalah Syria,” kata Ahmad Zahid.

Keutamaan Malaysia kini ialah bagi memastikan rakyat Syria tidak lagi menderita akibat konflik dan aspek kemanusiaan diberi perhatian utama di Syria, tambah beliau.

— BERNAMA/ Foto: AZH Twitter

Tinggalkan komen anda