Skip to main content
HomeViral

Majlis Perundingan Melayu Bukan Platform Sebar Sentimen Kaum

By 22 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh Mohd Anuar Ibrahim dan Zaharah Ismail

KUALA LUMPUR, 22 Sept 2016 (Malaysiaaktif) – Majlis Perundingan Melayu (MPM) bukan platform untuk mewujudkan apa jua bentuk konfrontasi dengan mana-mana pihak.

Pertentangan hanya berlaku dalam menangani puak-puak yang ditakrifkan sebagai menghasut sentimen perkauman.

Sehubungan itu, MPM bertindak sebagai pemangkin kepada lebih 826 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu untuk berdepan dengan ‘tekanan’ yang dihadapi oleh bangsa Melayu Bumiputera, Islam dan raja-raja Melayu di Malaysia.

Demikian diperjelaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam ucapan perasmian beliau sempena Persidangan Tahunan Ke-7 MPM di sini hari ini.

4a0471cd-0c2a-47e3-b0a0-95e0e3dc47c5

 

Tambah beliau, MPM merupakan satu badan bertindak dan penggerak agenda menjulang ketuanan Melayu melalui penyatuan, pemerkasaan dan pembudayaan ke arah menjadikan bangsa Melayu yang hebat, bermaruah dan berkat dalam menerajui negara maju, makmur dan sejahtera.

“Bangsa Melayu dilihat sukar diterjemahkan sebelum penubuhan MPM dan  kejayaan menghimpunkan sebahagian besar  NGO Melayu di Malaysia merupakan kejayaan yang sangat besar dan memerlukan usaha berterusan,” ujarnya.

Sebagai tanda penghargaan perjuangan MPM, Hamzah meluluskan penubuhan Yayasan MPM serta Koperasi MPM dan berjanji untuk memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada badan tersebut.

Persidangan yang berlangsung di sebuah hotel itu dihadiri lebih 500 orang dan berjaya menghimpunkan sebahagian besar pemimpin NGO Melayu dari seluruh negara.

MPM yang diasaskan pada 24 Disember 2009 dan dilancarkan secara rasminya pada 27 Februari 2010 merupakan permulaan kepada gerakan bagi menjadikan orang Melayu sebagai kuasa ketiga dalam menentukan kuasa politik di Malaysia.

Turut hadir bekas Ketua Polis Negara Ke-4 Tun Mohamad Haniff Omar, Tan Sri Dr Yusof Noor dan Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda