Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantanViral

Wang Tidak Menjadi Penghalang Buat Peminat Kucing

By 25 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh : Robani Nabi Ahmad

KOTA BHARU, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Kucing merupakan haiwan yang paling banyak dijadikan haiwan peliharaan. Kerana hobi tidak hairanlah bagi Hilmi Ismail, 39, dan keluarganya sanggup berhabis wang sebanyak RM5,000 untuk mendapatkan kucing jenis baka Maine Coon.

Menurut Hilmi, mereka sekeluarga meminati baka Maine Coon kerana kucing ini dikenali dengan jenis baka yang besar dan berat badan kucing jantan boleh mencapai sepuluh kilogram.

“Kucing ini juga mempunyai mata dan telinga besar yang berkemampuan untuk melihat dan mendengar benda yang jauh.

“Kami sekeluarga memanggilnya dengan nama Awang, dan hampir setiap malam Awang tidur bersama anak-anak saya,” katanya.

Hilmi adalah salah seorang pemenang kategori baka kucing terbaik Pertandingan 1st Kota Bharu Kelantan Show di Dewan Terbuka Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semalam.

Sebanyak 85 ekor kucing daripada pelbagai jenis seperti Exotic Shorthair, Muchkin, Burmese, Maine Coon, Bengal, serta kucing Domestik telah menarik 500 orang pengunjung menyaksikan pertandingan ini yang ditaja oleh Powercat Malaysia dan mendapat kerjasama daripada Pusat Pengajian Tinggi UMK dan Kelab Pencinta Kucing Kelantan.

Menurut Presiden Kelab Pencinta Kucing Kelantan, Kasran Hussin, 41, berkata, pertandingan ini diadakan bagi memberi pendidikan kepada pemilik kucing dalam aspek penjagaan dan kesihatan si manja.

“Masih ramai pemilik kucing yang gagal mendapatkan maklumat mengenai penjagaan yang betul, sebagai contohnya jenis makanan yang sesuai untuk kucing bagi mengelak alergi diarrhea (cirit-birit), muntah dan hilang selera makan.

“Memang banyak pilihan makanan yang ada di pasaran, tetapi kita mesti berhati-hati memilihnya untuk kucing tersayang,” jelasnya kepada Malaysiaaktif.

Pemenang pertandingan ini membawa pulang hadiah berupa makanan dan kelengkapan kucing yang ditaja syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. yang mengeluarkan produk Powercat.

Tinggalkan komen anda