Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahangViral

200 Orang Terlibat ‘Kebakaran’ Bangunan Wisma Negeri Pahang

By 29 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Abd Razak bin Ismail

KUANTAN, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 200 pekerja di bangunan Wisma Negeri cemas apabila dikatakan berlaku ‘kebakaran’ dalam bangunan tersebut Isnin lepas.

Apa yang sebenarnya berlaku, ia hanya sebahagian daripada adegan latihan kebakaran yang membabitkan bangunan berkenaan.

Namun demikian, mereka akur dengan arahan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan seterus bergerak turun dari tingkat-tingkat atas bangunan dan berkumpul di tempat berkumpul yang ditetapkan.

whatsapp-image-2016-09-26-at-12-43-57

Pekerja meninggalkan bangunan dan menunggu di tempat berkumpul.

 

Menurut ketua operasi latihan, Kamarul Bieza bin Mohamed Kassim, Walaupun statistik Negeri Pahang menunjukkan tiada kebakaran bangunan berlaku bagi 2016, namun latihan ini penting dalam mencari pendekatan menangani sebarang kemungkinan.

Latihan yang diadakan secara spontan dan mengejut ini adalah sebahagian daripada tatacara pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang mengasah kepakaran apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini.

Latihan tahunan ini  melibatkan seramai 35 orang anggota dan empat jentera dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuantan, Jalan Bukit Ubi di sini. Antara alat yang digunakan termasuk  tangga cakraputar, iaitu tangga tinggi bagi kerja semburan atau pancutan ke sasaran.

Menurut Kamarul Bieza lagi, terdapat perbezaan dalam latihan kali ini yang melibatkan tingkat lebih tinggi, iaitu tingkat enam dan tujuh Wisma Negeri yang terletak berhampiran Wisma Persekutuan dan Wisma Sri Pahang.  Selain, kesukaran ketinggian, tekanan air rendah juga antara cabaran yang dihadapi mereka.

whatsapp-image-2016-09-26-at-12-43-53

Tangga cakraputar digunakan bagi memadamkan ‘kebakaran’ di bahagian tinggi bangunan.

 

Sebelum latihan bermula, beberapa penjawat awam dalam bangunan diberikan taklimat berhubung apa yang akan dilakukan.

Menurut Kamarul, tujuan latihan adalah bagi memberi pendedahan kepada pekerja dalam bangunan berkenaan tentang cara  menyelamatkan diri apabila berdepan dengan kebakaran, tatacara pengosongan bangunan dan kaedah memadam serta mengawal kebakaran di peringkat awal.

Selain itu, Pasukan Tindakan Cemas (ERT) yang turut terbabit dalam latihan ini menggunakan pengalaman yang diperoleh bagi mempertingkatkan kecekapan anggota bomba dan penyelamat. Walaupun statistik Negeri Pahang menunjukkan tiada kebakaran bangunan bagi 2016 dan hanya kebakaran hutan serta belukar, namun latihan ini penting bagi sebarang kemungkinan.

Seorang pegawai yang bertugas di pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) di Wisma berkenaan menyifatkan latihan ini memberi pendedahan kepada pekerja tentang cara menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran.

Latihan yang bermula waktu pagi itu berakhir beberapa jam kemudian.

 

-MRR/AAS

Tinggalkan komen anda