Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

APM Manjung Siap Siaga Fenomena Air Pasang Besar

By 13 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Andi Abdul Rohim (Manjung) / Foto: Ihsan Nasarudin Abu Bakar

SITIAWAN, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung telah mengeluarkan senarai kawasan yang dijangka berisiko banjir akibat fenomena air pasang besar di Daerah Manjung, semalam.

pegawai-apm-daerah-manjungBerdasarkan ramalan yang dikeluarkan oleh JUPEM dan Unit Hidrologi TLDM meramalkan Air Pasang Besar dijangka berlaku pada 15 hingga 19 Oktober ini dengan paras air tertinggi mencapai 2.8 meter hingga 3.4 meter.

Antara yang tersenarai, Kampung Kayan, Kampung Padang Tembak, Kampung Telok Muroh, Kampung Nelayan (Pantai Tin), Kampung Sungai Batu, Kampung Paya Ara, Kampung Changkat, Kampung Batu 10, Kampung Teluk Gedong, Pulau Pangkor, Kampung Panchor, Kampung Pantai Remis, dan Kampung Sitiawan.

Menurut Pegawai Staff Kanan Pertahanan Awam, Nasarudin Abu Bakar senarai tersebut adalah sebagai persediaan masyarakat sekiranya berlaku banjir. Katanya, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memulakan  langkah jangka pendek dengan membina benteng penahan di Kampung Bagan Panchor yang mengalami banjir baru-baru ini.

“Kekuatan anggota APM secara aktif ialah seramai 30 orang di Daerah Manjung termasuk Pegawai dan Anggota. Walau bagaimanapun, sekiranya kekurangan anggota, pihak APM akan dibantu oleh daerah-daerah lain yang tidak terlibat dengan bencana banjir,” ujar Nasarudin yang ditemui di pejabatnya, di sini.

lgkh-jgka-pendek-mbina-benteng-pnhan-air-sempena-fenomna-air-psg-bsar-pd-15-okt-ni-prj-jps

Tambahnya, pemantauan anggota APM di kawasan pesisir pantai di sekitar Lekir hingga Pantai Remis telah bermula pada Selasa, pukul 12.00 malam dan air pasang dijangka pada waktu pagi berdasarkan maklumat yang diterima dari Jabatan Meteorologi.

“Pemantauan akan diteruskan sehingga 19 Oktober. Fenomena air pasang besar dijangka bermula pada 15 hingga 19 Oktober 2016. Pihak Jabatan Meteorologi, Jabatan Laut dan JPS sentiasa menyalurkan maklumat ramalan cuaca serta keadaan paras air laut dan sungai kepada APM Manjung,” jelasnya.

APM telah memula menyebarkan senarai penuh kawasan-kawasan yang berisiko banjir ini melalui medium laman sosial WhatsApp Group yang turut menyatakan langkah-langkah keselamatan awal melibatkan sebelum dan semasa kejadian air pasang besar ini.

Langkah-langkah keselamatan awal termasuk menyimpan dan menempatkan dokumen-dokumen penting yang mudah dicapai untuk dibawa ke tempat yang selamat dan memaklumkan kepada ketua isi rumah supaya berpindah ke pusat pemindahan yang tetap apabila diarah.

3

“Kami ingin orang ramai sama-sama mula bersedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar ini. Jadi, APM mengambil langkah awal dengan menyebarkan maklumat melalui WhatsApp untuk penyampaian yang lebih pantas. Selain itu, orang ramai juga boleh layari maklumat berikut di laman Facebook APM,” ujar Nasarudin.

Dalam pada itu, Nasarudin turut berkata bulan Oktober tahun ini hingga Februari 2017 adalah bulan kesiapsiagaan negara.

“Pihak APM Manjung sedang giat mengadakan taklimat Civil Defense Emergency Response Team (CDERT) kepada komuniti masyarakat sekitar daerah Manjung supaya membuat persediaan awal menangani bencana banjir dan menubuhkan pasukan tindakan awal sebelum pihak APM tiba ke lokasi,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda