Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Kurang 30 Peratus Produk Dapat Pengiktirafan Halal JAKIM

By 20 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh:  Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Malaysiaaktif)  –  “Tidak sampai 30 peratus jumlah produk yang telah mendapat pengiktirafan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ini sangat merugikan jika dibiarkan tanpa sebarang usaha”.

Pengerusi Institut Kerjasama Antarabangsa Islam Malaysia (IKIAM) merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berucap demikian dalam Forum Halal Muslim di Hotel Grand Campbell di sini hari ini.

Tambah beliau, “Masalah utama pengusaha kecil ialah mereka tidak dapat memenuhi kehendak pihak JAKIM dalam mendapatkan pengesahan ‘Halal’ kerana syarat-syarat yang dikenakan adalah sangat ketat”.

“Forum Halal Muslim ini akan membincangkan tentang langkah-langkah penyelesaian yang mudah untuk usahawan-usahawan muslim dalam mendapat pengiktirafan ‘Halal’ dari pihak  JAKIM bagi membawa produk muslim ini berkembang dan bersaing dengan produk yang lain”.

Forum anjuran IKIAM ini dalam usaha mencari resolusi pembangunan industri halal terutamanya kepada usahawan muslim industri kecil (mikro) luar bandar.

Beliau turut menjelaskan “Pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti JAKIM, RISDA, Halal Development Corporation (HDC), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bekerjasama dalam usaha memudahkan pengiktirafan halal bagi produk muslim terutamanya pengusaha industri kecil kawasan luar bandar.

“Masyarakat perlu faham dalam pengiktirafan halal memang wajib daripada JAKIM tetapi bagi peringkat penguatkuasaan, kuasanya ada pada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak IKIAM juga turut mempunyai pasukan sukarelawan dalam membantu pihak penguatkuasaan memantau kesahihan halal bagi sesuatu produk,” jelas beiau.

“Sehingga kini pihak IKIAM telah mempunyai hampir 500 orang sukarelawan,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata forum ini juga turut membincangkan mengenai kewujudan logo halal bagi membezakan produk muslim atau produk tersebut bukan produk muslim. Namun, perkara ini masih di dalam perbincangan dan akan diusulkan kepada pihak berkaitan bagi pelaksanaan kelak.

Dua kertas kerja turut dibentangkan dalam forum ini iaitu oleh Pengarah Pembangunan Industri Halal dan Pelancongan Islam IKIAM, Prof. Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf dan Pengarah Dasar Bahagian Hab Halal JAKIM, Muhamad Hawari Hasan dan wakil HDC, Ahmad Lokman Ibrahim.

IKIAM merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menitikberatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam di samping membantu kerajaan dan kepimpinan negara.

IKIAM juga bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan berperanan di peringkat antarabangsa.

Melalui forum ini yang dihadiri seramai 100 orang tetamu, IKIAM berharap segala perbincangan dan pandangan yang melibatkan pelbagai pihak akan dapat menambahbaik Rangka Dasar Program bagi usahawan kecil dalam memasarkan produk halal di mata dunia.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda