Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Malaysia Destinasi Pilihan Utama Pelancong Muslim

By 20 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh:  Mohd. Anuar Ibrahim dan Saharuddin Othman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Malaysiaaktif) – “Malaysia berada pada kedudukan pertama destinasi pilihan pelancong muslim mengikut Indeks Pelancongan Muslim Dunia (GMTI) berdasarkan laporan yang dikeluarkan Syarikat Mastercard bagi tahun 2015 dan 2016”.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata demikian semasa ucapan perasmian di Majlis Persidangan dan Ekspo Pelancongan Islam Dunia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  di sini, hari ini.

“Pada tahun 2015, Malaysia menerima 5.2 juta pelancong Muslim yang datang ke negara ini,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi “Faktor utama yang mendorong kepada statistik ini adalah kemudahan yang disediakan negara kepada pelancong muslim seperti kemudahan fasiliti bersolat, gerai makanan yang mempamerkan logo halal, layanan mesra Muslim yang diamalkan pihak hotel di samping situasi negara yang aman dan stabil”.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perdagangan Antarabangsa, Pertubuhan Negara Islam (OIC), Muhammad Raja Talib Datuk Dr Raja Mohamad Abdullah dalam ucapan pula berkata, “Industri Pelancongan Halal Dunia dijangka akan menjana pendapatan sehingga USD230 billion menjelang tahun 2020.”

“Ini berikutan negara yang majoriti rakyatnya bukan Islam seperti Sepanyol, United Kingdom, India dan pelbagai negara lain dilihat mula menyasarkan pelancong Muslim kerana merasakan Pelancongan Halal merupakan sektor yang mampu menjana keuntungan negara masing-masing.”

Persidangan dan Ekspo Pelancongan Islam Dunia di PWTC ini merupakan platform bagi syarikat dan organisasi seluruh dunia mempamerkan produk muslim di samping turut menghimpunkan pegawai tinggi kerajaan dan ketua industri daripada 57 buah negara Pertubuhan Negara Islam (OIC) bagi membincang serta membuat keputusan dalam meningkatkan strategi Industri Pelancongan Halal di dunia.

Perasmian Persidangan dan Ekspo Pelancongan Islam Dunia yang disertai kira-kira 80 gerai pameran dari seluruh dunia bermula pada 18 hingga 22 Oktober ini di PWTC turut dihadiri Pengerusi Pusat Perdagangan Antarabangsa OIC, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Elyas Omar.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda