Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Seorang Maut, Dua Cedera Dihempap Konkrit

By 21 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Melaka

MELAKA, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang maut manakala dua lagi cedera dihempap konkrit di tapak projek tangki air Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.05 petang itu, mangsa, Abu Ardianto, 31, warga Indonesia maut di tempat kejadian, manakala dua lagi pekerja warganegara sama parah dihantar ke hospital oleh pihak universiti.

2

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian dipercayai  berlaku apabila pelantar kerja runtuh selain keadaan lantai bumbung tangki air serta simen yang belum kering di dalam bangunan tangki berkenaan.

“Runtuhan pelantar kerja itu menyebabkan seorang buruh binaan maut manakala dua lagi pekerja iaitu Rio Sutari, 28, dan Amirudin, 37, parah. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan keadaan dilaporkan stabil,” jelasnya ketika dihubungi di sini.

1

Menurutnya, mayat Abu turut dihantar ke Jabatan Forensik hospital yang sama untuk dibedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ahli keluarga mangsa turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Senentara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Hairul Nizam Ridhuan berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati ketiga-tiga mangsa sudah pun dikeluarkan oleh pasukan polis bantuan UTeM.

5

“Difahamkan ketika kejadian, seramai sembilan pekerja berada di lokasi dan mangsa sedang melakukan kerja-kerja menaikkan simen untuk pembinaan sebelum pelantar kerja tersebut tiba-tiba roboh.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat turut dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap dalam runtuhan. Enam pekerja lain tidak cedera dan berjaya keluar dari kawasan runtuhan,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda