Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Bajet 2017: Lahirkan Generasi Job Creator

By 21 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Banyak cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai sektor dalam negara sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Menurut seorang pendidik, Mohd Zaidil Adha Mat Hussin, untuk bajet 2017 kali ini, dia berharap agar kerajaan menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan memberikan bonus sekurang-kurangnya satu bulan kepada penjawat awam untuk menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Sebagai pendidik juga, saya berharap melalui bajet 2017 ini kerajaan menaik taraf kelajuan internet di institusi pendidikan awam seperti negara maju kerana pengajaran dan pembelajaran sekarang melalui dalam talian,” katanya.

mohd-zaidil-adha-bin-mat-hussin

Mohd Zaidil Adha – Berharap kerajaan menaik taraf infrastruktur dan capaian internet di institusi pendidikan serta menurunkan kadar GST dan beri bonus satu bulan kepada penjawat awam untuk menangani kos sara hidup yang tinggi kini.

 

Jelasnya, capaian utama pembelajaran melalui laman web aplikasi (Portal E-learning Politeknik) CIDOS menjadi perlahan apabila pelajar mengakses secara serentak semasa sesi kelas.

“Ini sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran. Saya mengharapkan dengan menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan kelajuan internet, pembelajaran menjadi lebih lancar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perdagangan, Politeknik Merlimau Melaka, Haniza Baharom juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai bajet yang ideal dari sudut pandangan ahli akademik.

Katanya, sejumlah besar dana di bawah keutamaan kedua telah diperuntukkan dalam Bajet 2016 yang lalu iaitu meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi melalui pelbagai program keusahawanan untuk generasi muda serta menggiatkan aktiviti demand driven innovation melalui Public-Private Research Network (PPRN).

Justeru, Haniza berharap keutamaan ini dapat diteruskan dan peruntukan dana dapat ditambah kerana melalui program-program keusahawanan yang dianjurkan terutamanya dalam era digital kini berjaya menghasilkan pencipta kerja (job creator) dalam kalangan generasi muda walaupun mereka belum lagi menamatkan pengajian.

“Malahan ada di antara mereka yang mampu menjana pendapatan yang di luar jangkaan. Ini adalah satu kejayaan yang bermakna dalam usaha kita membuat anjakan paradigma dari melahirkan generasi job seekers (pencari kerja) kepada job creators,” ujarnya.

haniza-baharom

Haniza Baharom – Lebihkan peruntukan dana untuk program keusahawanan bagi menghasilkan lebih pencipta kerja (job creators).

 

Tambahnya, program PPRN membolehkan ahli akademik memindah pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran mereka menghasilkan produk inovasi dalam menambah baik proses kerja seterusnya meningkatkan produktiviti.

“Ini jelas sekali amat bermanfaat kepada sektor industri kecil dan sederhana yang mempunyai idea dan modal bagi memulakan perusahaan tetapi berhadapan dengan kekangan untuk kekal bersaing dengan perusahaan yang jauh lebih maju dan berteknologi tinggi serta memastikan kelangsungan mereka dalam pasaran,” katanya.

Jelasnya, keutamaan kerajaan dalam mempersiaga modal insan di bawah keutamaan ketiga bajet 2016, melalui pendekatan mentransformasi latihan teknik dan vokasional (TVET) juga dilihat telah membuahkan hasil yang membanggakan apabila lulusan institusi TVET termasuklah Politeknik dan Kolej Komuniti berada di tangga teratas dalam carta kebolehpasaran graduan, berbanding lain-lain institusi pendidikan.

“Jadi, saya berharap kerajaan dapat memperuntukkan dana yang mencukupi bagi menyediakan peralatan dan kemudahan lain di institusi TVET agar program latihan yang disediakan adalah setanding dengan perubahan teknologi masa kini sekaligus mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” ujar Haniza.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda