Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Indonesia, Kedutaan Asing Pertama Meterai Pendidikan Bebas Rasuah

By 21 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh :  Parameswary Lekshmnan & Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Malaysiaktif) –  “Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) merupakan kedutaan asing pertama yang dipilih untuk serahan kit program pendidikan dan pencegahan rasuah dalam usaha mendidik serta menyebar luaskan mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat, khususnya warga Indonesia”.

Demikian dinyatakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil ketika berucap di Majlis Penyerahan Kit Pendidikan Mengenai Rasuah kepada KBRI di sini, semalam.

“Ini merupakan kali pertama SPRM menjalankan kerjasama dalam bentuk program tersusun dengan kedutaan asing di Malaysia. Kerjasama ini selaras dengan tugas dan tanggungjawab SPRM sepertimana dalam Akta SPRM 2009, Seksyen 7 (f)  dan (g)”, jelas beliau.

Tambah beliau, “SPRM sering bekerjasama dengan agensi pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa seperti Komisi Pembenterasan Korupsi (KPK) Republik Indonesia dan lain-lain negara dalam usaha dan program kerjasama berkenaan pencegahan rasuah”.

“SPRM juga sentiasa menyebar maklumat melalui media sosial dan kini melalui medium terbaharu iaitu, radio streaming SPRM atau dikenali sebagai My Anti-Corruption Channel (MACC. fm) yang merupakan hasil lawatan kerja ke Kanal Radio KPK yang dilancarkan pada Disember 2015″.

“Rakyat Indonesia mahupun warga asing lain boleh dapatkan maklumat berkenaan pencegahan rasuah melalui medium-medium ini”, ujar beliau.

Menurut beliau lagi, SPRM turut melaksanakan beberapa program selain kerjasama ini selaras dengan hasrat pengurusan tertinggi SPRM bagi membebaskan perkhidmatan awam dari gejala rasuah dalam masa 3 tahun.

Duta Besar KBRI, Herman Prayitno turut menyatakan penghargaan kepada SPRM atas kerjasama ini sejajar dengan komitmen kedua-dua negara dalam mewujudkan kerajaan yang bebas budaya rasuah.

Beliau berharap maklumat penting dalam kit pendidikan berkenaan dapat diambil tindakan yang sewajarnya sekiranya warga Indonesia mengalami situasi rasuah yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab di Malaysia.

Bahan kit pendidikan mengandungi cakera digital video (DVD), risalah dan poster pencegahan antirasuah SPRM.

DVD tersebut mengandungi pelbagai klip video, ‘Public Service Announcement’ (PSA), dokumentari pendek serta rancangan animasi popular Upin dan Ipin yang menyampaikan mesej-mesej anti-rasuah, integriti serta cara-cara melaporkan rasuah kepada SPRM.

DVD tersebut akan ditayangkan di kesemua televisyen di ruang menunggu kaunter Imigresen KBRI di Kuala Lumpur.

Selepas KBRI,  SPRM akan menjalinkan usahasama pendidikan dan pencegahan mengenai rasuah bersama kedutaan lain seperti Kedutaan Nepal, Myanmar dan Bangladesh di Malaysia.

Turut hadir di majlis ini ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM,  Abdul Samat bin Kasah.

-DK

 

Tinggalkan komen anda