Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahangViral

Caring Bridge Didik Rakyat Guna Khidmat Dalam Talian

By 24 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

CAMERON HIGHLANDS, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Program Caring Bridge atau Jambatan Kasih akan menjadi platform utama untuk mendidik masyarakat, terutama yang di luar bandar dalam penggunaan dan kepercayaan kepada sistem perkhidmatan dalam talian, seperti perbankan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman berkata demikian semasa Majlis Penutup Program Caring Bridge di Padang Awam Kampung Raja yang berlangsung pada Ahad.

20161023_120734

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman menjelaskan sesuatu kepada media.

 

Ibrahim berkata program ini menggantikan program Kumpulan Tindakan Sivik (KUMTIS) dengan ditambah nilai seiring peredaran masa dan dijenamakan semula selaras dengan program transformasi kerajaan.

“Pameran yang disertai beberapa jabatan dan agensi kerajaan ini telah berkunjung ke kampung-kampung untuk memberi penerangan berkaitan Ekonomi Baharu, Amanah Saham Nasional, Salah Guna Dadah, Kempen Buku Hijau dan sebagainya bagi memastikan rakyat dapat memahami, menerima dan turut serta dalam setiap kempen kerajaan.

“Program ini berlandaskan Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diguna pakai bagi menggembleng jentera kerajaan secara optimum dalam setiap program yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Dr. Mohd Ali Mohamad Nor dalam ucapan perasmian berkata, sebanyak 1,786 lokasi perluasan jalur lebar mudah alih telah dinaik taraf bagi memberikan perkhidmatan 3G berbanding 2G sebelum ini.

“Inisiatif pembangunan perkhidmatan ICT dan komunikasi juga menitikberatkan perluasan jalur lebar talian tetap merangkumi sejumlah 171,680 sambungan bagi menaik taraf rangkaian jalur lebar sehingga 20Mbps di kawasan pinggir bandar dan luar bandar,” jelasnya.

20161023_105912

Pengarah Jabatan Insovensi Perak, Helin Haldi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Insovensi Perak, Helin Haldi pula berkata pihaknya sedia membantu untuk mendidik individu dan syarikat yang menghadapi masalah kewangan termasuk bankrap atau syarikat yang digulungkan.

Dalam pada itu, Wakil Pusat Kutipan Zakat Pahang, Mohd Adden Mahmud, menjelaskan ramai pengunjung tidak tahu wujudnya aplikasi ZakatKLIK untuk telefon pintar yang membolehkan pengguna melakukan pelbagai urusan zakat.

20161023_110901

Wakil Pusat Kutipan Zakat Pahang, Mohd Adden Mahmud (duduk)

“Lebih ramai pengunjung yang datang untuk mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan dalam talian zakat pada sebelah petang. Ada juga orang bukan Islam yang datang untuk mendapatkan penjelasan berkenaan zakat,” ujarnya lagi.

Pengunjung, Khor Chew Thing, 36, yang datang bersama keluarganya pula berkata dia lebih selesa berurusan secara dalam talian dalam mendapatkan perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta kerana lebih mudah dan cepat.

img-20161024-wa00001

Khor Chew Thing: Lebih mudaj berurusan secara dalam talian.

“Saya gunakan Internet untuk mendapatkan maklumat menerusi telefon bimbit sahaja. Namun Internet di sini perlahan sehingga menyebabkan gangguan kepada kemudahan ini,” katanya.

Program Caring Bridge anjuran Jabatan Penerangan ini telah mula berlangsung pada Sabtu dan berakhir semalam.

 

 

-SH / SF

Tinggalkan komen anda