Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlisViral

Taming Sari Dinobat Johan Di Muara Kuala Perlis

By 8 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Anuar Che Amat

KANGAR, 8 Nov (Malaysiaktif) — Perahu Taming Sari dari Kampung Baru Seberang, Kuala Perlis, muncul johan dalam acara Perahu Panjang Tradisional Kategori Kampung Negeri Perlis sempena Pesta Air Kuala Perlis 2016 Sabtu lepas.

Perahu panjang 14 pendayung buatan sendiri itu menewaskan pasukan Kampung Bahagia dalam acara yang diadakan di  muara berhampiran  Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM). Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala iringan.

Perlumbaan sejauh lebih 1km itu begitu mencabar memandangkan para pendayung terpaksa melawan arus sungai.

Ketua pasukan Taming Sari, Nasir Nayan berkata pasukan dari Kampung Bahagia memberikan saingan sengit kepada mereka  sejak dari mula, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk berusaha melepasi garisan penamat.

“Kami sangat berpuas hati memenangi perlumbaan dengan menewaskan pasukan Kampung Bahagia yang selama ini menguasai acara tersebut dan lebih manis lagi kami membuat sendiri perahu yang digunakan, berbanding perahu pasukan lawan yang diimport dari Thailand,” ujarnya.

Kategori Perahu Panjang Tradisi 12 Pendayung Kampung dimenangi oleh pasukan Kampung Tandiap, Kuala Perlis apabila juga menewaskan pasukan dari Kampung Bahagia.

Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis memenangi kategori Perahu Naga 20 pendayung, sementara pasukan Jabatan dan Agensi Negeri Perlis menundukkan pasukan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis. Pasukan dari Jabatan Pendidikan Negeri Perlis mendapat tempat ketiga setelah menewaskan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bagi katergori Pasukan Perahu Naga antara negeri pula, ‘Dragon Pasifik’ dari Pulau Pinang menjadi juara setelah menewaskan pasukan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs). Tempat ketiga disandang oleh Pasukan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) yang mengatasi pasukan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Pesta Air Kuala Perlis merupakan acara tahunan yang diperkenalkan sejak tahun 60an lagi dan melibatkan beberapa acara sampingan, seperti Pertandingan Perahu Berhias, acara Pukul Bantal dan Panjat Tiang Licin.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullai berkenan berangkat mencemar duli untuk menyaksikan acara dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Tuamku Syed Sirajuddin dan Menteri Besar Perlis Datuk’ Seri Azlan Man

 

-MRR/AAS

Tinggalkan komen anda