[VIDEO] Tukun Tiruan Mengubah Nasib Nelayan Di Sarawak

 

Laporan dan foto oleh Muhammad Rizal Redzuan

MUKAH, 22 Nov (Malaysiaktif) – Hasil tangkapan ikan bertambah sehingga dua kali ganda, manakala harga ikan turun sehingga 30 peratus. Ini yang diceritakan oleh nelayan dan juga peniaga ikan di Pasar Oya, Salim Saari, 52, sejak diwujudkan tukun tiruan di tempatnya pada 1984.

Menurutnya, kini hasil yang diperoleh setiap hari sebanyak empat kotak berbanding dahulunya antara satu atau dua kotak.

Dengan peningkatan hasil, Salim berkata harga ikan mula menurun, contohnya ikan kerapu yang dahulu berharga RM18 sekilogram sekarang hanya RM13 sekilogram.

001

Pegawai Perikanan Perlindungan Sumber yang juga Pegawai Projek Tukun Negeri Sarawak, Fairol Tajudin Suhaili.

 

Menurut Pegawai Perikanan Perlindungan Sumber yang juga Pegawai Projek Tukun Negeri Sarawak, Fairol Tajudin b Suhaili, Jabatan Perikanan mengambil serius usaha menambahkan jumlah ikan di perairan negara, selain meningkatkan hasil nelayan dan menstabilkan harga ikan.

Fairol yang ditemui baru-baru ini berkata, sejak 1984 Jabatan Perikanan telah empat kali melabuhkan tukun tiruan di kawasan Mukah. Pertama pada 1984 dengan meletakkan sebanyak 12,578 unit tayar terpakai sebagai tukuan tiruan. Ini diikuti dengan penenggelaman sembilan buah bot usang sebagai tukun tiruan dan seterusnya pada tahun 2000, sebanyak 200 unit tukun bebola dan sejumlah  30 unit tukun kuboid pada 2009.

Antara jenis tukun yang digunakan iaitu tukun bebola dan tukun kuboid

Antara jenis tukun yang digunakan iaitu tukun bebola dan tukun kuboid

 

Berikutan kejayaan inisiatif tersebut yang mula menampakkan hasil pada 1990, para nelayan di seluruh Sarawak meminta supaya semua lokasi dilabuhkan tukun tiruan.

Walau bagaimanapun, tukun tiruan tidak boleh diletakkan sesuka hati. Kelulusan daripada pihak Jabatan Laut perlu didapatkan bagi mengelakkan gangguan kepada laluan pelayaran.

Hingga kini terdapat beberapa jenis tukun yang dilabuhkan di Sarawak mengikut jenis rupa dasar laut, sama ada keras berpasir atau lembut berselut.

t9

Tongkang membawa tukun.

 

Sekiranya dasar laut lembut berselut seperti di kawasan perairan Oya, tukun jenis dasar lembut penghalang pukat tunda digunakan. Ia memerlukan saiz yang besar kerana di dasar yang lembut, sebahagiannya akan tengelam. Berat tukun ini kira-kira 15 tan setiap satu dan mustahil dapat ditarik oleh pukat tunda, malahan akan merosakkan semua jenis pukat tunda.

Bagi laut yang dasarnya keras berpasir seperti di Kuching atau Sematan, tukun yang digunakan lebih kecil kerana dasar keras dan tukun tidak akan tidak tenggelam. Antara tukun yang popular di dasar keras ialah tukun rekreasi dan tukun bebola, ujarnya lagi.

Tahun ini sebanyak 32 buah tukun dasar lembut penghalang pukat tunda telah dilabuhkan di Mukah dengan kos lebih RM500,000. Ini disusuli dengan 32 buah tukun jenis yang sama di Lawas dan 345 tukun bebola dilabuhkan di Sematan pada Ogos lalu.

006

Hasil tangkapan ikan bertambah sejak kaedah tukun tiruan digunakan oleh kerajaan – Salim Saari.

 

Fairol berkata kaedah ini penting untuk pembiakkan koloni ikan, terutama di pesisir pantai dan biasanya dalam tempoh tiga bulan, ikan sudah tertumpu di kawasan tukun walaupun untuk pertumbuhan karang ia memakan masa hingga tiga ke empat tahun.

Tukun yang diletakkan rapat lebih disukai ikan tetapi untuk untuk kawasan luas, ia disusun secara berbaris.

Katanya lagi, tukun menjadi rumah kepada ikan dasar seperti kerapu, jenahak serta ikan dasar laut (demersal) dan ikan pelagis, iaitu ikan permukaan laut, seperti kembung atau selar. Tukun juga mewujudkan satu ekosistem yang baik gabungan ikan dasar dan demersal.

428af4d4-cc54-41c9-8844-1cab31942bb6

Fairol sedang mengkoordinasi usaha melabuhkan tukun tiruan baru-baru ini.

 

Menurut Fairol, lokasi tukun yang dilabuhkan hanya diketahui oleh nelayan setempat. Kerahsiaan ini bertujuan bagi mengelakkan nelayan asing menceroboh kawasan, selain untuk menjerat pukat tunda yang diharamkan di sini.

Selepas ditempatkan, pihak Jabatan Perikanan akan memantau struktur-struktur tukun tersebut dari semasa ke semasa.

Kaedah penggunaan tukun ialah bagi menarik ikan luar masuk ke kawasan tukun dan seterusnya membolehkan nelayan memasang jaring atau pukat di sepanjang laluan ikan.

Dalam pada itu, Fairol berkata setiap tiga bulan habitat ikan akan berubah kerana ikan berpindah ke tempat lain.

004

Ahli Majlis Daerah Dalat Dan Mukah, juga Timbalan Ketua 1 Sukarelawan Perikanan (Super) Negeri Sarawak, Aini Bin Suhaili.

 

Ahli Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Aini Bin Suhaili, 51, yang menjadi nelayan sepenuh masa sejak 1982 berkata nelayan di kawasan Mukah menjual sendiri hasil tangkapan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua 1 Sukarelawan Perikanan (Super) Negeri Sarawak menjelaskan bahawa pihak kerajaan membantu nelayan dari segi pemberian bot, dan tukun tiruan.

Kerajaan juga membantu dengan membina Pasar Ikan Oya pada 2005.

Selain menangkap ikan, nelayan di kawasan ini turut menangkap obor-obor. Sekarang musim obor-obor di Oya dan penangkapan nelayan meningkat dengan lumayan hingga mencecah RM8,000 sehari.

Aini menceritakan bagaimana sebelum tukun-tukun tiruan ini diwujudkan, kaedah penggunaan tayar yang dilabuhkan untuk menarik koloni ikan didapati tidak berjaya kerana lama-kelamaan tayar-tayar tersebut tenggelam dan hilang ditelan selut.

r2

Komponen Tukun Tiruan Tukun jenis Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda.

 

Beliau berkata dengan adanya tukun-tukun terbaharu ini nelayan tidak lagi menghadapi kesukaran. Keadaan sekarang berbeza berbanding dahulu apabila nelayan terpaksa beroperasi jauh dan berselerak hingga membahayakan diri. Mereka terpaksa belayar hinga 20 batu nautika ke laut secara bersendirian untuk mencari ikan.

Selain pendapatan nelayan bertambah, tukun juga menarik pelancong daripada kalangan kaki joran yang berkunjung ke Mukah. Keadaan ini memberikan nilai tambah kepada kehidupan nelayan apabila mereka diambil sebagai pemandu pelancong.

Menurut Aini lagi, antara perancangan yang diatur setakat ini termasuk untuk melepaskan benih ikan siakap bagi menjadikan kawasan itu lokasi tumpuan kaki pancing ikan siakap.

Kesimpulan manfaat yang diperoleh daripada usaha kerajaan membantu nelayan di Sarawak melalui inisiatif mewujudkan tukun tiruan digambarkan oleh nelayan ikan dan obor-obor, Haji Zaini Raili.

Nelayan berusia 53 tahun ini berkata jika manusia dapat beranak pinak di dalam rumah yang selesa, begitu jugalah dengan ikan. Ikan juga akan membiak dengan banyak apabila tukun dibina, apatah lagi bila batu karang membentuk pada struktur tersebut.

 

-AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...