Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Universiti Deakin Dekati Perhubungan Awam di Malaysia

By 24 November 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Fandy Azlan & Muhairul Azman Supian

PUTRAJAYA, 24 Nov (Malaysiaaktif) – “Salah satu perkara yang kami suka tentang perhubungan awam (PR) di Malaysia ialah terdapat cukup persamaan untuk para pelajar Universiti Deakin memahami apakah PR itu sebenarnya. Malaysia dan Australia mempunyai pemahaman yang sama tentang PR dan PR di Malaysia adalah maju.”

Pengarah Kursus Perhubungan Awam Universiti Deakin, Australia, Prof Mark Sheehan berkata demikian kepada Malaysiaaktif selepas berakhirnya lawatan para pelajar jurusan komunikasi Universiti Deakin di Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) di sini semalam.

“Di sesetengah negara, mereka tertukar maksud antara pengiklanan dan PR. Mereka menggunakan perkataan yang sama, perhubungan awam, tetapi mereka sebenarnya bercakap tentang pengiklanan,” ujar Sheehan.

Tambahnya, kewujudan agensi tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan menunjukkan kemajuan bidang PR di Malaysia.

mark-sheehan-2

Mark Sheehan – Terdapat persamaan dalam perhubungan awam di Malaysia dan Australia.

“Sebagai contoh, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (Ketua Pengarah JaPen) dengan pengetahuannya tentang PR, kerja-kerjanya dalam IPRM (Institut Perhubungan Awam Malaysia), menunjukkan terdapat persamaan pemahaman.

“Saya juga bekerja di insititut PR di Australia. Saya mempengerusikan Jawatankuasa Pendidikan Kebangsaan, jadi mereka yang bekerja dalam industri, memahami persamaan tersebut dan ini memudahkan saya untuk menyampaikan mesej itu kepada para pelajar.

“Sekiranya saya pergi ke negara lain, persamaan tersebut tidak wujud dan itu menyukarkan para pelajar untuk memahami situasi di negara tersebut. Sebab itulah kami suka ke sini. Sebelum ini, kami ada juga ke Singapura tetapi lebih senang untuk berpusat di satu tempat,” kata Sheehan.

Ini merupakan tahun keempat Universiti Deakin membuat lawatan ke JaPen bagi mendalami bidang perhubungan awam dalam sektor kerajaan.

Dalam pada itu, seorang pelajar yang ditemui, Liam Blackwell, 21, berkata dia sememangnya berminat untuk menyertai perhubungan awam kerajaan apabila tamat pengajian nanti.

liam-blackwell-3

Liam Blackwell, 21, berminat untuk menceburi perhubungan awam dalam sektor kerajaan.

“Itu merupakan salah satu cabang dalam perhubungan awam yang saya berminat untuk menceburi selepas tamat pengajian nanti. Mempunyai ahli keluarga di rumah (di Australia) yang bekerja dalam sektor kerajaan, pastinya akan menjadi satu peluang yang cukup menarik.

“Menerusi lawatan ini, saya sudah mempunyai sedikit gambaran tentang perkara yang bakal dihadapi apabila bekerja dengan kerajaan,” ujar pelajar jurusan utama perhubungan awam dan kriminologi itu.

Blackwell turut menambah, dia dapat melihat adanya perbezaan dalam amalan perhubungan awam antara Malaysia dan Australia.

“Pada pendapat saya, perhubungan awam di Australia, terdapat lebih banyak kawalan kerosakan (damage control) dalam menangani isu atau skandal yang disensasikan menerusi berita dengan cepat.

“Berbanding dengan apa yang saya dapat lihat di Malaysia melalui berita, terdapat banyak ciri positif dan perhubungan awam lebih proaktif di sini manakala di Australia, perhubungan awam reaktif lebih mendapat banyak perhatian.

“Namun, saya turut rasa wujudnya persamaan antara kita yang terdapat suatu idea universal dalam komunikasi iaitu penyampaian mesej yang jelas,” kata Blackwell.

dalam-meeting-room-3

Perbincangan antara Universiti Deakin dan Jabatan Penerangan Malaysia.

Sementara itu, menyentuh tentang perbezaan antara PR di Malaysia dan Australia, seorang lagi pelajar Universiti Deakin, Amber Teesdale, 22, berkata PR di Malaysia lebih terhad (restricted).

“Saya rasa PR di Malaysia nampak seperti lebih terhad berbanding di Australia yang tidak mempunyai begitu banyak peraturan dan kami boleh cakap dengan bebas,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni, Media dan Komunikasi (Kewartawanan) itu.

Mengulas tentang program ini, Teesdale yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia berkata lawatan ini merupakan satu program yang membuka minda.

“Lawatan ini sangat berguna untuk saya membawa pulang ilmu baharu apabila kembali ke Australia. Dengan melihat bagaimana PR negara lain berfungsi, jadi, sekiranya saya bekerja di luar negara, saya dapat memahami bahawa terdapat perbezaan yang perlu saya sesuaikan. Perkara paling utama yang saya pelajari di sini tidak semua negara adalah sama,” kata Teesdale.

kp-bersama-course-director-of-pr-prof-mark-sheehan-2

Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (kiri) bersama Pengarah Kursus Perhubungan Awam Universiti Deakin, Prof Mark Sheehan.

Lawatan kali ini yang disertai seramai 21 orang pelajar Universiti Deakin dalam pelbagai bidang Media dan Komunikasi diketuai oleh Sheehan dan pensyarah, Kirby Bronwyn ini juga turut serta dalam Persidangan Perhubungan Awam Universiti ASEAN 2016 (APRC2016) di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada Jumaat lalu.

Program yang memakan masa lebih dua minggu ini akan melawat beberapa agensi PR dan media di Malaysia yang ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT).

 

-SF

Tinggalkan komen anda