Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tebing Sungai Runtuh, Enam Buah Rumah Rosak

By 29 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 29 Nov (Malaysiaaktif) – “Saya terdengar bunyi seperti gelas pecah serta sangat takut masa itu, ia berlaku dalam 10 minit sahaja hingga hampir jatuh dan lihat dinding rumah turut tumbang, lalu saya berlari keluar sambil memanggil anak-anak”.

Demikian cerita salah seorang mangsa kejadian, Chin Yoke Ya yang melalui detik kejadian semasa beliau sedang memasak di dapur lebih kurang pukul 4.30 petang, Jumaat lepas.

Beliau yang tinggal bersama suami dan tiga orang anak sejak 6 tahun lalu berharap agar pihak tertentu dapat membina rumah mereka dengan segera kerana bimbang kesihatan anak-anaknya sekiranya perlu tinggal lebih lama di dewan tersebut.

Semasa kejadian Jumaat lepas, enam buah rumah rosak apabila tebing Sungai Rawang di belakang perumahan Jalan Bersatu 20, Taman Bersatu mendap menyebabkan runtuhan.

4d0f4b63-213d-4144-8064-5d083b1af8fd

Seorang lagi penduduk yang terlibat, Khairuddin Harun berkata beliau dan penduduk telah beberapa kali membuat aduan tentang keretakan rumah mereka sebelum ini sejak tahun lepas, namun pihak tertentu hanya datang meninjau dan ia berlalu begitu sahaja.

“Kerja-kerja membaiki tebing sungai ini pula dibuat sejak dua bulan lepas dan kami penduduk tidak dimaklumkan kerana tidak kelihatan papan tanda yang memberitahu kontraktor sedang membaiki tebing sungai”, ujar beliau.

Sementara itu Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim memaklumkan Jawatankuasa Bencana Daerah Gombak yang bermesyuarat semalam telah memutuskan agar enam keluarga yang rumah mereka rosak dipindahkan sementara di Dewan Taman Jati sehingga Jumaat ini.

“Kami berpandangan bahawa tidak sesuai mereka berada di dewan itu lebih empat hari kerana keadaan yang tidak selesa kerana mereka mempunyai keluarga, tindakan seterusnya adalah mencari enam buah rumah sewa untuk mereka sehingga projek JPS selesai dan rumah penduduk dibaiki”, ujar beliau.

Menurutnya, beliau telah memohon agar Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membaiki rumah yang rosak dengan sokongan peruntukan kerajaan negeri bagi membina semula rumah tersebut.

Jurutera Daerah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Gombak, Junadi Apandi Jemain pula berkata hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan tiada saliran keluar air buangan kawasan perumahan dan longkang tersumbat menyebabkan air hujan menyerap masuk ke tebing sungai.

“Keadaan ini menyebabkan kawasan itu menjadi tepu dan air di dalam tanah menolak tebing serta kerja-kerja membaiki tebing pula telah mempercepatkan runtuhan berlaku”, katanya.

Tambah beliau, JPS telah melantik kontraktor lain bagi memasang cerucuk sepanjang 100 meter dan memampatkan tanah yang akan melibatkan kos RM800 ribu.

 

Tinggalkan komen anda