Angklung Sutrawarna Terap Nilai Kerjasama

angklung
Foto: Bernama

 

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Lagu seniman agung Tan Sri P.Ramlee, ‘Yang Mana Satu’ begitu merdu dialun menggunakan alat muzik angklung pada Malam Apresiasi Citra Bakti yang berlangsung di Hotel Federal Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis berkenaan diadakan sempena ulang tahun ke-10 Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL).

Persembahan angklung pula dijayakan 50 pelajar dari kumpulan angklung Sutrawarna atau Simfoni Tunas Warisan Angklung.

Meskipun baharu ditubuhkan tahun lalu, bakat mereka hampir menyamai pemuzik angklung profesional dan berpengalaman.

Lebih membanggakan pada malam berkenaan, kumpulan pemuzik muda ini turut memenangi anugerah Projek Berpotensi Tinggi yang mengiktiraf bakat dan kebolehan mereka dalam mengharumkan nama Kuala Lumpur.

PRODUK KOMUNITI LA21KL

Kumpulan angklung Sutrawarna adalah sebahagian daripada projek pembangunan komuniti di bawah program kesenian dan kebudayaan LA21KL.

Ia menggabungkan 105 pelajar Tingkatan 2 daripada 12 sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

Mereka dibimbing pensyarah muzik berpengalaman, Ustaz Mohamad Isa Rawan dari Institut Pendidikan Islam Bangi, Selangor yang juga bertindak sebagai pengubah muzik dan lagu.

Pemilihan angklung yang boleh dimainkan secara individu dan berkumpulan sesuai dengan konsep komuniti yang ingin diterapkan di kalangan pelajar sekolah dengan mewujudkan nilai kerjasama berpasukan.

Tidak kira daripada sekolah mana, mereka harus berlatih dan membuat persembahan bersama-sama sebagai satu pasukan muzik.

Menurut Pengarah Program, Raja Abd Rahman Raja Omar, ilham menubuhkan kumpulan itu hasil lawatan Eksplorasi Ilmu di Jakarta-Bandung pada tahun 2012. Ia menjadi salah satu program yang diwujudkan di peringkat LA21KL di bawah tema Bandaraya Sejahtera.

Pada peringkat awal, seramai 24 sekolah berminat menyertai program ini, bagaimanapun kini hanya tinggal 12 sekolah.

Antara sekolah tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, SMK Taman Maluri, SMK Bintang Selatan, SMK Sri Rampai, SMK Taman Desa, SMK Sri Sentosa, SMK Wangsa Melawati, SMK Bandar Baru Sentul, SMK Chung Hwa dan SMK Cochrane.

“Setiap sekolah digalak mewujudkan kumpulan angklung masing-masing di mana latihan boleh dibuat di sekolah oleh guru-guru muzik. “Apabila ada persembahan baharu kita kumpulkan kesemua sekolah terlibat dalam satu kem untuk latihan,” katanya sambil menambah, kesemua pelajar terlibat dipilih di peringkat sekolah sejak di tingkatan satu.

Kesemua mereka akan dikekalkan dalam kumpulan angklung Sutrawarna sehingga tingkatan 4. Apabila berada di tingkatan 5, mereka boleh membuat pilihan sama ada untuk meneruskan atau memberi fokus pada pelajaran terutama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

TANGGUNGJAWAB SUKAR

Menurut Raja Abd Rahman, sememangnya bukan tugas mudah mengumpulkan 105 pelajar yang berbeza sekolah untuk satu program.

Banyak cabaran dan halangannya terutama di peringkat awal, katanya. Kebanyakan pelajar datang daripada pelbagai latar belakang.

Ada pelajar yang tinggal di kawasan rumah flat dan ada yang tinggal di kawasan bertaman dengan taraf ekonomi keluarga yang berbeza-beza.

“Sejak penubuhannya tahun lepas kami menganjurkan tiga kem membina pasukan bagi memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mereka termasuk transformasi minda.

“Bukan sahaja mereka diajar tentang semangat berpasukan tetapi juga tentang disiplin, tanggungjawab menjaga angklung, etika serta penampilan sebagai performer,” katanya.

Sehingga kini, semangat berpasukan antara pelajar semakin baik dan mereka tidak lagi berada dalam kumpulan sekolah yang sama sebaliknya mahu dikenali sebagai Kumpulan Angklung Sutrawarna.

Sasaran Raja Abd Rahman adalah untuk membuat persembahan jelajah seluruh Malaysia suatu hari nanti di samping impian membawa kumpulan itu ke peringkat lebih tinggi.

Setakat ini, kumpulan tersebut membuat tujuh persembahan besar antaranya sempena Hari Wilayah pada tahun lepas, Kenduri Satu Wilayah dan persembahan sempena Eart Hour di Petaling Jaya.

PENGALAMAN BAHARU

Salah seorang anggota Kumpulan Angklung Sutrawarna, Sean Oh,14, alat muzik yang diperbuat daripada buluh ini menyatukan semangat kerjasama yang sangat tinggi di kalangan mereka.

Meskipun pada awalnya tidak mengetahui langsung tentang angklung, setelah cuba memainkannya dengan bimbingan guru muzik di sekolah, Sean boleh dikatakan sudah jatuh cinta dengannya.

“Mula-mula sahaja rasa janggal sikit tetapi lama kelamaan seronok bermain alat muzik angklung. Tambahan rakan sekolah lain memberi kerjasama yang sangat baik,” katanya yang bersekolah di SMK Wangsa Melawati.

Pelajar ini yang juga mahir bermain alat muzik moden seperti piano dan gitar berkata angklung mempunyai keistimewaannya sendiri.

Selain diperbuat daripada bahan semula jadi, ia juga sangat ringan dan mudah dijaga. Sean berkebolehan memainkan lagu antaranya Taubat Maksiat, Yale-Yale, Yang Mana Satu dan Widuri dengan alat muzik angklungnya.

Sementara itu, pengalaman Isa sebagai pensyarah muzik turut membantu pelajar mahir dalam membaca nota muzik. Beliau berkata, ia adalah keperluan untuk menjadi seorang ahli muzik.

“Dengan cara ini mereka mudah menguasai irama, rentak yang betul dan seterusnya boleh memainkan angklung dengan baik,” katanya.

Walaupun tidak semua pelajar berkebolehan membaca nota muzik, namun beliau mensasarkan dalam tempoh dua tahun lagi, kesemua mereka berkemampuan menguasainya.

Mendapat Ijazah dan Sarjana dalam bidang muzik di Universiti Perguruan Sultan Idris, Ustaz Isa menyimpan hampir 300 buah lagu daripada genre berbeza antaranya irama hindustan, dangdut dan rock.

Pemilihan lagu adalah mengikut kesesuaian pada persembahan yang ingin dilakukan dan lazimnya beliau akan membuat gubahan baharu mengikut kesesuaian.

“Saya juga turut mengajar guru muzik di sekolah yang terlibat dalam program LA21KL. “Ini kerana mereka yang akan menggerakkan program ini di sekolah. Apabila di sekolah sudah mempunyai asas ia akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Setelah hampir 32 tahun berkecimpung dalam pendidikan muzik termasuk mengubah dan mencipta lagu tradisi dan moden, Isa yakin usaha yang dilakukan LA21KL dengan mewujudkan kumpulan muzik angklung dapat membantu mengetengahkan bakat seni dalam kalangan pelajar.

 

– BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *