Skip to main content
GlobalHome

Kerja-Kerja Pembersihan Sisa Runtuhan Dimulakan Hari Ini

By 10 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

PIDIE JAYA – ACEH — Setelah empat hari tragedi gempa bumi di daerah Pidie Jaya di sini, kerja-kerja membersih runtuhan bangunan kini dimulakan dengan penggunaan jentera-jentera berat.

Pegawai Daerah Pidie Jaya Aiyub Ben Abbas berkata, pihak berkuasa bersetuju membersihkan kawasan runtuhan secara keseluruhan setelah tidak lagi menerima sebarang laporan mengenai kehilangan anggota keluarga.

“Setakat ini, jumlah mereka yang maut yang dikenal pasti ialah 88 orang dan kita tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan anggota keluarga daripada mana-mana pihak, oleh itu kita meneruskan kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan jentera berat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Katanya, jumlah mayat yang ditemui adalah 101 orang tetapi yang disahkan hanya 88 jenazah yang dituntut oleh keluarga masing-masing manakala selebihnya mungkin bukan penduduk tempatan.

Beliau berkata, tumpuan yang diberikan oleh pihak berkuasa sekarang ialah kerja-kerja pembersihan dan memastikan mangsa yang masih hidup mendapat bantuan yang diperlukan.

Aiyub berkata, setakat ini seluruh kawasan terbabit dengan gempa telah terjangkau dan pihaknya telah menjalankan operasi pembersihan di kawasan-kawasan terbabit.

Katanya, orang ramai yang mempunyai rumah dinasihati supaya pulang ke rumah masing-masing kerana gempa susulan yang berlaku adalah kecil dan ia adalah akibat ketidakstabilan kerak bumi yang tergelincir di dasar laut itu.

“Kita tidak perlu terlalu takut, kita harus waspada sahaja dan pulanglah ke rumah masing-masing untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan berfikirlah secara positif atas dugaan yang diberikan oleh Allah ini,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar kota Pidie Jaya mendapati jentera berat sedang memecahkan sisa runtuhan untuk diangkut buang setelah pasukan anjing pengesan juga tidak lagi menemui mangsa dalam runtuhan berkenaan.

Pemilik bangunan dan rumah yang runtuh sibuk mengambil barang mereka termasuk kain baju yang masih lagi ditemui dalam sisa runtuhan.

Orang ramai mula tidak panik dengan beberapa gegaran kecil akibat gempa susulan yang berlaku semalam dan awal pagi tadi.

Badan Meteorologi, Krimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataannya berkata, beberapa gempa susulan akan berlaku ekoran ketidakstabilan kerak bumi di dasar laut kawasan timur Aceh itu.

Selepas gempa sekuat 6.5 pada skala Richter pada pagi Rabu lepas itu, BMKG sehingga sekarang telah mengesan hampir 100 gempa susulan lemah di bawah 4 pada skala Richter dan ia hanya dirasai di beberapa titik dalam daerah Pidie Jaya.

Menurut kenyataan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) jumlah kematian setakat ini masih kekal 101 orang manakala sebanyak 139 orang dilaporkan parah dan dimasukkan ke hospital serta 718 orang hanya cedera ringan dalam kejadian gempa bumi itu.

Bagaimanapun, orang yang berpindah dari rumah kerana trauma dengan gempa didapati meningkat sehingga 45,329 orang.

Sebanyak 11,669 rumah dan bangunan termasuk sebuah hospital awam dilaporkan roboh, 157 buah rumah kedai, 152 buah masjid dan 25 sekolah yang dilaporkan mengalami kerosakan.

 

– Bernama

Tinggalkan komen anda