Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

MOU JTM Swasta Peluang Luaskan Kemahiran Pelajar ILP

By 16 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh : Mohd Faizal Mansor
Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Memorandum Persefahaman (MOU) antara Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dengan dua syarikat swasta yang dimeterai pagi tadi di sebuah hotel terkemuka di sini membolehkan penempatan pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP) Labuan untuk latihan sebelum perkhidmatan di kedua-dua syarikat tersebut.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pengarah JTM Kementerian Sumber Manusia, Datuk Chin Phaik Yoong ketika menandatangani MOU tersebut dengan Welfield Services Sdn Bhd yang berteraskan cari gali minyak dan gas serta hotel terkemuka di Labuan Dorsett Grand Labuan.

MOU ini mampu membuka peluang para pelajar ILP untuk meluaskan kemahiran yang sedia ada dan mempromosikan program-program latihan yang dijalankan dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan latihan kemahiran, kata beliau lagi.

Selain itu juga ia dapat menambahkan peluang latihan kemahiran kepada belia-belia dan meningkat kemahiran pekerja sedia ada di dalam pelbagai bidang kemahiran, terutamanya yang melibatkan industri Minyak dan Gas dan industri Perhotelan.

Kata beliau, jalinan usahasama ini akan melibatkan aktiviti-aktiviti seperti melatih para belia melalui program Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan meningkatkan kepakaran kakitangan kedua belah pihak melalui program latihan praktikal dan perkongsian teknologi dan kepakaran.

Menurut Pengurus Besar Welfield Services Sdn Bhd Mohd Za Mohamad, syarikatnya amat mengalu-alukan MOU tersebut sebagai memberi galakkan kepada pelatih-pelatih ILP Labuan untuk meneroka dunia sebenar industri petroleum dan gas melalui attachment mereka di yarikat tersebut.

Justeru mereka ini bakal menjadi tenaga kerja yang terlatih dengan pendedahan pengalaman latihan di syarikat kami disamping pertukaran idea dan kemahiran antara dua-dua belah pihak, tambahnya lagi.

Bagi pihak hotel Dorsett Grand Labuan pula pihaknya akan memberikan kerjasama yang terbaik untuk sama -sama melahirkan modal insan yang bermutu tinggi dikalangan pelajar ILP demi memajukan industri perhotelan negara di samping meningkatkan lagi kemajuan industri pelancongan di negara ini, ujar Pengurus Besarnya Susan Carlos.

Ujar Susan lagi, para pelajar ILP dalam bidang elektrik, pembinaan dan teknologi penyaman udara akan mendapat pengalaman yang berguna ketika menjalani latihan di hotel tersebut sebelum menempuh dunia pekerjaan yang sebenar.

Phaik Yoong berharap dengan termeterainya MOU ini, lebih banyak syarikat-syarikat atau pun industri-industri di Wilayah Persekutuan Labuan untuk tampil mengorak langkah lebih aktif dalam menggarap dan membangun sektor teknologi baru dan program latihan kemahiran dengan mengadakan usahama strategik dengan ILP Labuan.

Majlis menandatangani MOU tersebut turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli.

-MRR

Tinggalkan komen anda