Program Wakaf Buku DBP Galak Masyarakat Beramal

wakaf

 

Laporan /  foto oleh : Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 27 Dis (Malaysiaaktif) – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor dan Bank Islam Malaysia Berhad melancarkan Program Wakaf Buku DBP selama enam bulan bermula hari ini hingga 30 Jun 2017.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin, ini merupakan inisiatif baharu untuk menggalakkan masyarakat Malaysia beramal dengan cara mewakafkan buku kepada mereka yang memerlukan, selain menggalakkan  membaca dan penyebaran ilmu melalui buku.

“Ini merupakan kerjasama strategik antara DBP, Perbadanan Wakaf Selangor dan Bank Islam untuk memudahkan masyarakat yang ingin menyertai program wakaf, ia diperluaskan dalam bentuk buku yang sangat bermanfaat kepada masyarakat,” ujar beliau.

“Orang ramai boleh mewakafkan serendah RM10 sahaja, setelah semua hasil wakaf dikumpulkan, DBP dan Perbadanan Wakaf Selangor akan menukar jumlah terkumpul dengan buku yang akan diwakafkan kepada lima buah Maahad Tahfiz dengan sasaran wakaf sebanyak 40 buah kitab Tafsir Mubin dan 40 buah Tafsir Maudhu’iy,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman lagi, DBP merupakan penerbit pertama yang dilantik oleh Perbadanan Wakaf Selangor untuk melaksanakan wakaf buku.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar berkata Wakaf di Selangor adalah berdasarkan enakmen negeri yang membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai Pemegang Amanah dan Perbadanan Wakaf Selangor sebagai pengurus kepada harta-harta wakaf di negeri tersebut.

“Masyarakat tidak perlu ragu mengenai program ini kerana melalui kerjasama dengan Perbadanan Wakaf Selangor ia bermaksud program ini mendapat kebenaran daripada MAIS serta dipantau oleh Jabatan Audit Negara,” tambah beliau.

Bagi penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid yang diundang melancarkan program berkenaan, ia satu kaedah baik untuk membuat amal kebajikan buat diri sendiri dan ahli keluarga .

Beliau berharap agar penerbit-penerbit lain di Malaysia dapat mencontohi program ini kerana ia membuktikan program wakaf boleh disertai oleh sesiapa sahaja, malah boleh diniatkan untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia, ujar beliau.

 

-SH/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *