Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Program Transformasi Sosial Untuk Kawasan Flat Haji Manan

By 2 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Norsaedah Haron

KLUANG, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini melancarkan Program Transformasi Sosial Flat Jalan Haji Manan, di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique, turut dihadiri pemimpin tempatan, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor merangkap ADUN Mahkota Datuk Haji Md. Jais bin Haji Sarday.

Halimah dalam ucapannya berkata, kawasan Flat Haji Manan dipilih kerana lokasi di kawasan bandar yang mempunyai penduduk berbilang bangsa. Kawasan flat tersebut sebelum ini telah menerima peruntukan untuk mengecat semula bangunan sebanyak RM1 juta.

Beliau juga mengumumkan bahawa Kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 Juta untuk membina kawasan rekreasi baharu yang terletak di kawasan Rumah Murah Kg. Melayu, selain peruntukan untuk menaiktarafkan kawasan Dataran Tasik Kluang dan juga kawasan rekreasi Gunung Lambak.

Dalam program tersebut juga, Halimah telah melancarkan Komuniti Kitar Semula (Reduce, Reuse and Recyle atau 3R) di bawah SWCorp, serta pelancaran MyBomba, iaitu satu inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Kluang untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap budaya keselamatan kebakaran.

Pihak bomba turut menyumbangkan alat pemadam api kepada empat buah masjid dan surau.

Halimah pula melancarkan Program Rakan Taman di bawah Jabatan Landskap Negara dan Program Communication For Behavioural Impact (COMBI), untuk memerangi nyamuk aedes dan membendung wabak demam denggi, dengan kerjasama KPKT, Majlis Perbandaran Kluang dan Pejabat Kesihatan Daerah Kluang.

Program Transformasi Sosial ini bertujuan untuk mengubah keadaan persekitaran sedia ada kepada yang lebih baik, termasuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat dengan melalui pewujudan kejiranan indah, bersih dan selamat.

Pengerusi JPP Zon 17 Flat Haji Manan, Haji Syed Abdullah bin Syed Abd. Hamid ketika ditemui berpendapat bahawa program ini banyak memberikan masyarakat pendedahan yang boleh membawa perubahan dari segi sikap sosial terhadap masyarakat untuk hidup seperti sebuah keluarga, dan faham akan dasar dan jasa kerajaan kepada kita.

 

Tinggalkan komen anda