Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

11, 524 Pelajar Mula Persekolahan Di Melaka

By 4 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Hujan renyai-renyai yang turun tidak menghalang kegembiraan dan semangat yang terpancar dari wajah 165 orang pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang yang memulakan penggal persekolahan baharu, semalam.

Mereka merupakan sebahagian daripada 11,524 orang murid Tahun Satu yang mendaftar tahun ini membabitkan 237 buah sekolah di seluruh negeri.

Tertarik dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh seorang bapa, Mohd Zaki Abd Kadir, 36, yang memperkemaskan pakaian anak sulungnya, Effal Hafzi, yang memasuki tahun satu, Malaysiaaktif mengambil peluang untuk berbual dengannya.

mohd-zaki-bantu-memperkemaskan-baju-anaknya

Mohd Zaki membantu memperkemas baju anaknya, Effal Hafzi.

“Saya memang sudah merancang awal untuk mengambil cuti hari ini untuk menemankan anak saya memulakan hari pertama persekolahan tapi agak gementar sedikit sebab tiada pengalaman kerana dia anak sulung,” ujarnya.

Menurut Mohd Zaki, anaknya telah bangun awal kerana bersemangat untuk ke sekolah walaupun tidur lewat malam tadi dan menaiki van seawal 6.30 pagi untuk ke sekolah.

“Untuk bulan ini sahaja saya menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk dia seorang termasuk pakaian, yuran dan buku-buku untuk dua buah sekolah termasuk transit di pusat asuhan,” jelasnya.

Mohd Zaki yang bekerja di Pengkalan Balak berkata mulai esok, anaknya akan transit di taska asuhan selepas waktu sekolah sesi pagi dan menyambung persekolahan di sekolah agama pula pada waktu petang.

Sementara itu, bagi Mohd Fairuz Yakob, 35, anaknya hanya akan bersekolah sementara sahaja selama sebulan di SK Sungai Udang kerana perlu berpindah ke sekolah untuk pelajar pendidikan khas.

mohd-fairuz-bersama-anaknya

Riang: Mohd Fairuz bersama anaknya yang disahkan sebagai seorang hiperaktif.

“Sebenarnya sekolah akan beri tempoh pemerhatian kira-kira enam bulan sama ada seseorang pelajar akan meneruskan pelajaran di sekolah tersebut atau perlu berpindah ke sekolah khas, tapi sebab kami sudah tahu awal masalah anak saya, jadi selepas sebulan saya akan pindahkan dia,” jelasnya.

Ini berikutan saranan ibu saudaranya yang juga seorang cikgu yang mengesyorkan untuk berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan anaknya yang dilihat seorang yang hiperaktif.

antara-ibubapa-yang-menemani-anak-kesekolah

Antara ibu bapa yang menemani anak ke sekolah pada hari pertama persekolahan.

“Selepas buat temu janji dengan doktor pakar, doktor turut mengesahkan yang anak saya dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), dan perlu jalani satu lagi rawatan selepas itu,” ujarnya yang merupakan seorang pembantu restoran.

Tambah Mohd Fairuz, dia menerima keadaan anak tunggalnya kerana faham walaupun anaknya seorang yang cerdik, namun jika masih mengikuti pembelajaran di sekolah perdana mungkin akan menyukarnya untuk menyerap pembelajaran dengan pantas.

Katanya lagi, anaknya yang lambat bertutur juga tidak mengikuti program pra-sekolah sebelum ini kerana terlibat dengan pembedahan akibat ketumbuhan di belakang badan dan perlu berehat beberapa bulan.

Harapannya, anaknya dapat mengikuti pelajaran seperti pelajar lain dan memperoleh pekerjaan yang baik apabila dewasa untuk masa depannya kelak.

km-memerhati-amrina-irdina-amran-mewarna

Tekun: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memerhati Amrina Irdina Amran mewarna di SK Sungai Udang ketika membuat lawatan ke sana.

 

Mereka ditemui ketika dalam Program Lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, ke murid-murid Tahun Satu di SK Sungai Udang, di sini.

 

-DZ    

Tinggalkan komen anda