Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Minyak Percuma Untuk Penunggang Motosikal Labuan

By 4 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Rozman mengisi petrol salah sebuah motorsikal.

 

Oleh Mohd Faizal Mansor / Foto:  Jeffrey Nian

LABUAN 4 Jan (Malaysiaaktif) — Dalam meringankan bebanan kenaikan kos hidup yang ditanggung oleh rakyat, pergerakan pemuda UMNO Labuan yang diketuai oleh Ketua Pemudanya, Datuk  Mohd Raffi Ali Hassan  mengambil inisiatif mengadakan Program Isi Minyak Percuma.

“Usaha ini diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak bebanan kos petrol khususnya kepada generasi belia di Labuan yang menggunakan motosikal berkuasa kecil sama ada ke tempat kerja mahupun ke tempat belajar,” ujar Raffi pada Program Isi Minyak Percuma Motosikal 150 cc ke bawah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Labuan di Stesen Minyak Petronas Kampung Durian Tunjong, di sini, malam tadi.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Rozman Haji Isli.

Ujar Raffi lagi, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Rozman Haji Isli telah bersetuju agar  pergerakan pemuda UMNO Labuan mengadakan program pengisian minyak secara percuma tersebut  sebulan sekali agar golongan sasar yang dibantu dapat menyerap kos petrol antara RM 6 hingga RM 9 hasil daripada program tersebut.

“Melalui program ini, masa selama dua jam iaitu bermula jam 8 malam hingga 10 malam diperuntukkan kepada penunggang motosikal untuk mengisi minyak bagi mengelakkan kesesakan berlaku di stesen-stesen minyak Petronas yang terpilih untuk program yang akan datang”, kata beliau lagi.

Rozman pula menyambut baik program tersebut yang membantu golongan sasar seperti para penunggang motosikal yang terdiri daripada golongan belia yang baru memulakan kerjaya dalam kehidupan mahupun golongan (B40) yang terkesan menanggung kos kehidupan pada masa kini.

“Ini kerana golongan belia merupakan harapan masa depan negara, oleh yang demikian program seperti ini adalah pendorong semangat dan membantu golongan tersebut untuk terus maju dalam kehidupan  masing-masing walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu”, Rozman menambah lagi.

Bagi seorang penunggang motosikal yang dikenali Abang Man, 43 tahun, beliau memuji usaha pergerakan pemuda UMNO Labuan yang mengadakan program mengisi minyak secara percuma yang jelas menunjukkan keprihatinan pergerakkan tersebut terhadap masalah yang sedang di hadapi oleh rakyat khususnya kenaikan harga barang dan petrol.

Bagi Kamirul Kahar, 27 tahun, beliau bersyukur kerana golongan belia sepertinya sentiasa terbela kerana golongan muda sekarang sedang menghadapi pelbagai cabaran seperti pengangguran serta kenaikan kos hidup yang tinggi.

Justeru inisiatif seperti ini diharapkan memberi sedikit sebanyak bantuan baginya untuk meringankan kos kewangan mengisi petrol, katanya lagi.

Tinggalkan komen anda