Isu Rumah Dilelong – PPIM Rayu Bantuan Orang Ramai

a39034c2-faeb-4517-96fd-0288fc818a03
Datuk Nadzim Johan (kiri) bersama Yusuf Azmi (kanan) memaparkan nombor akaun Tabung Kemanusiaan PPIM semasa Sidang Media.

 

Laporan / foto oleh Mohd Anuar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Malaysiaaktif) – “Tindakan Lee Hui Sen yang sanggup melepaskan deposit 10 peratus atau berjumlah RM44,000 pembelian rumah yang dilelong tanpa mengenali pemilik rumah berkenaan telah membuka mata rakyat Malaysia bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi membantu mereka yang terlibat dengan masalah rumah yang dilelong.”

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media Tabung Kemanusiaan PPIM di sini, hari ini.

148d3525-1aed-4b45-8458-a7a6318c5171

Ujar beliau, “PPIM akan berusaha untuk mencari dana berjumlah RM70,000 bagi membida rumah tersebut yang tetap akan dilelong oleh pihak bank pada 10 Januari ini dan memegang pemilikan sementara rumah tersebut sebelum dikembalikan semula kepada pemilik asal dalam memastikan usaha murni Lee Hui Sen itu tidak sia-sia.”

“Pihak bank yang terlibat dalam urusan lelongan rumah tersebut sepatutnya menggunakan budi bicara seperti menangguhkan urusan lelongan memandangkan sejumlah wang telah dibayar kepada mereka, tetapi sebaliknya pihak bank seperti tidak mempedulikan nasib keluarga yang bakal kehilangan tempat tinggal,” tambah Nadzim.

Beliau menyatakan sehingga hari ini, beliau masih gagal menemui pihak pengurusan bank tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut merayu orang ramai dan badan korporat untuk menghulurkan bantuan melalui Tabung Kemanusiaan PPIM, memandangkan kes pemilik yang diisytiharkan muflis dan kediaman mereka dilelong semakin meningkat di Malaysia.

Beliau menjelaskan pada hari pertama pelancaran tabung kemanusiaan ini, iaitu hari ini, berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM5,000 sumbangan Yayasan Patriot Negara dan akan digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat kepada Tabung Kemanusiaan PPIM, melalui CIMB Bank Berhad (Nombor Akaun 8602507446) atau boleh menghubungi terus pihak Sekretariat Tabung Kemanusiaan PPIM di talian 013 611 6666.

Sidang Media Khas itu turut dihadiri Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi, pengamal media dan kira-kira 10 orang ahli PPIM.

 

-AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *