Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Banjir di Kelantan Bukan Kerana Empangan Dibuka – Ahmad Zahid

By 5 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / Foto Oleh Mohd Suhaidi Mat Jusoh

PASIR MAS, 5 Jan (Malaysiaaktif) –  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid  Hamidi menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa banjir yang berlaku di Kelantan berpunca daripada kerajaan Thailand yang melepaskan air empangan di negara berkenaan, sebaliknya hujan lebat yang turut melanda negara tersebut lalu menyebabkan air Sungai Golok melimpah.

Tambah beliau lagi, kerajaan sentiasa komited mengadakan kerjasama dengan Thailand, terutama dengan Gabenor Wilayah Selatan negara itu untuk menangani masalah banjir.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menziarahi mangsa banjir di sini.

Ahmad Zahid ketika menziarahi mangsa banjir di sini.

 

“Kerajaan negeri harus mengambil perhatian dalam soal penebangan pokok dan pemilihan kawasan untuk membuka ladang tidak seharusnya mengambil ruang yang luas kerana implikasinya boleh menyumbang kepada masalah perparitan, mendapan, tanah runtuh yang secara langsung boleh menyebabkan bencana banjir,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Bencana Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2.

Banjir yang melanda Kelantan sejak tiga hari lalu menjejaskan sesi persekolahan dan berkemungkinan merosakkan peralatan sekolah.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta supaya tindakan segera diambil oleh Biro Kebajikan UMNO bagi menguruskan perkara tersebut dan mengambil tindakan segera dan menghulurkan bantuan.

“Bantuan yang akan dihulurkan bukan bermotifkan politik sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat, terutama bagi membantu meringankan beban yang diperlukan ketika berlakunya sesuatu bencana,” katanya ketika meninjau keadaan 1,496 mangsa banjir melibatkan 677 keluarga di sini hari ini.

Beliau turut berjanji akan membantu dengan keupayaan yang ada untuk mengatasi masalah di pusat pemindahan banjir tersebut.

Seorang mangsa banjir warga emas yang ditemui, Zainab binti Che Man, 73, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan pusat yang membantu memberi bantuan.

Bagi warga emas Abdullah Bin Muhamad, 61, bantuan yang diberikan akan meringankan beban dalam menghadapi musim tengkujuh.

“Setiap tahun saya berpindah ke sekolah ini kerana keadaan rumah yang rendah, menyebabkan air sungai mudah mengalir masuk ke dalam rumah,” jelasnya.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda