Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

RM280 Ribu Berjaya Dikutip Untuk Tabung Demimu Rohingya

By 5 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan /  foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM280 ribu berjaya dikumpul hari ini oleh beberapa agensi termasuk masjid-masjid seluruh Melaka yang berjaya mengumpul sejumlah RM120 ribu untuk Tabung Misi Kemanusiaan Rohingya.

Sumbangan tersebut dikutip pagi tadi dalam Perhimpunan Aman Membela Masyarakat Islam Rohingya Peringkat Negeri Melaka yang disertai kira-kira 8,000 kehadiran orang daripada pelbagai agensi termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

antara-kehadiran-yang-mengambil-kesempatan-menurunkan-tandatangan-tanda-sokongan

Antara peserta yang mengambil kesempatan menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap Rohingya di Perhimpunan Aman Bagi Membela Masyarakat Islam Rohingya Peringkat Negeri Melaka.

 

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, tabung tersebut akan diedarkan ke seluruh negeri dan seterusnya diserahkan kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Rohingya.

“Di atas kesedaran ketika saya melihat Perdana Menteri dan juga Datuk Seri Haji Hadi Awang yang mengenepikan segala kepentingan politik dan mencari persamaan untuk masyarakat Islam di seluruh negara, saya rasa elok Melaka turut memainkan peranan itu dan memberikan tanda sokongan,” katanya.

Katanya, Malaysia merupakan antara kerajaan pertama di dunia yang menyatakan sokongan secara jelas kepada masyarakat Rohingya, walaupun dikatakan mencampuri urusan mereka, tetapi Malaysia berdiri di atas nama kemanusiaan dan hak asasi manusia untuk hidup.

“Saya berterima kasih atas kehadiran orang ramai pada hari ini yang menunjukkan sokongan kepada masyarakat Rohingya dan memberikan tekanan kepada pihak berkuasa Myanmar supaya menghentikan serta merta penindasan yang berlaku di wilayah Rakhine,” katanya.

Tambahnya, media turut memainkan peranan dalam menunjukkan pendirian Malaysia yang tidak berganjak menyokong Rohingya dan mendesak pihak berkuasa Myanmar supaya menghentikan kekejaman yang di luar batas kemanusiaan.

“Tabung tersebut akan terus dijalankan selagi penganiayaan masih berlaku dan hanya apabila pihak berkuasa Myanmar telah mengiktiraf masyarakat Rohingya dengan memberi mereka wilayah dan membenarkan mereka menjalani kehidupan tanpa sebarang tekanan.

“Kita juga tahu bahawa di Myanmar ada seorang penerima nobel keamanan, yang peliknya ketika beliau dalam tahanan, kezaliman itu tidak berlaku. Tetapi apabila beliau keluar dan menjadi sebahagian daripada ahli pembuat dasar negara dan ahli parlimen di Myanmar, keganasan itu mula berlaku.

pelancaran-tabung-demimu-rohingya

Pelancaran Tabung Demimu Rohingya.

 

“Malah, Aung San Suu Kyi (Kaunselor Negara Myanmar) pula menunjukkan dia tidak ada langsung ciri-ciri kemanusiaan seperti mana yang diagung-agungkan suatu ketika dulu. Jadi, saya kira Aung San Suu Kyi bolehlah memulangkan semula anugerah nobel keamanan dunia yang diterimanya dan tidak lagi dilihat sebagai pejuang hak asasi manusia.

“Saya anggap beliau seolah seorang pemimpin murahan apabila tidak mempertahankan insiden yang berlaku, sedangkan insiden tersebut berlaku di hadapan beliau sahaja,” tegas Idris.

Sementara itu, salah seorang etnik Rohingya yang hadir, Sayedullah Nur Hussein, 21, berkata dia tidak memahami mengapa Rohingya diperlakukan sekejam itu sedangkan terdapat 25 etnik yang lain di Myanmar dapat hidup dengan aman.

sayedullah-memohon-agar-umat-islam-seluruh-dunia-dapat-membantu-rohingya

Sayedullah Nur Hussein memohon agar umat Islam seluruh dunia dapat membantu masyarakat Rohingya yang ditindas.

 

“Kami juga manusia dan hanya inginkan kehidupan yang aman. Justeru, kami memohon bantuan dari komuniti seluruh dunia yang masih ada nilai kemanusiaan untuk membantu kami,” ujarnya.

Tambahnya, mereka kini kehilangan segala-galanya kerana dimusnahkan oleh pihak berkuasa Myanmar dan ketika meninggalkan negara itu pada 2012, kerajaan Malaysia sudi untuk menerima mereka menetap di sini.

“Kami mohon, umat Islam seluruh dunia agar dapat bantu kembalikan tempat kami, kami juga inginkan bangsa kami kekal di tanah air kami sendiri, kerana kami hanya inginkan kehidupan yang aman dan kami juga ada hak,” rayunya.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda