Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Fenomena ‘Blue Tears’ Pantai Tusan Tarik Pencinta Alam

By 7 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Mahdini Jaini / Foto: Liza Bujang
MIRI, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Belakangan ini, nama Pantai Tusan sering menjadi sebutan umum terutamanya dalam kalangan  masyarakat tempatan Sarawak berikutan fenomena‘Blue Tears’ atau Air Mata Biru yang mula ditemui oleh seorang jurugambar tempatan bernama Albert Song pada September 2015.

Gambar-gambar menarik fenomena ini kemudiannya dimuat naik menerusi laman sosial dan menjadi ‘viral’.

Fenomena ‘Blue Tears’ terhasil daripada fitoplankton iaitu sejenis tumbuhan marin mikroskopik yang hanyut di permukaan air yang menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen dalam air laut.

Keunikan pemandangan yang terhasil telah menggamit ramai pengunjung terutamanya peminat fotografi dari dalam dan luar negeri untuk turut sama merasai sendiri pengalaman unik tersebut di Tusan.

Suasana pantai pemandangan dari atas tebing (Foto: Liza Bujang)

Suasana pantai pemandangan dari atas tebing (Foto: Liza Bujang)

Kesempatan sempena cuti umum Tahun Baharu 2017 baru-baru ini telah dimanfaat sepenuhnya oleh Liza Bujang untuk menikmati keunikan fenomena alam di Pantai Tusan.

Jurugambar bebas tempatan itu berkata, keindahan fenomena Air Mata Biru seperti yang dipapar menerusi laman media sosial sering membuatkannya begitu teruja untuk merakam sendiri keindahan pantai tersebut bagi tujuan koleksi peribadi.

“Saya sering menyimpan hasrat untuk melawat Pantai Tusan dan pengalaman kali pertama menjejakkan kaki ke pantai ini melihat sendiri keajaiban alam ciptaan Tuhan merupakan kenangan yang amat bermakna buat saya. Fenomena ‘Blue Tears’ ini turut membuatkan saya teringat sebahagian istilah mikroorganisma marin menerusi subjek Biologi Marin di universiti dahulu,” ujar Liza.

Pemandangan pesisir pantai Tusan yang dikelilingi tebing tinggi pada waktu siang (foto: Liza Bujang)

Pemandangan pesisir pantai Tusan yang dikelilingi tebing tinggi pada waktu siang (foto: Liza Bujang)

Pemegang Ijazah Sarjana Sains Persekitaran ini memiliki hobi mengumpul koleksi gambar panorama alam semula jadi sebagai aktiviti waktu lapang. Hobi yang bermula sejak 10 tahun lalu menjadi obsesinya memandangkan pekerjaannya kini menghubungkannya dengan kesedaran menjaga alam sekitar.

Tambah Liza, kunjungannya ke Pantai Tusan selama dua hari iaitu pada sebelah malam pada hari pertama dan ketika tengah hari terik pada hari kedua semata-mata hendak merakam keunikan suasana pantai pada waktu yang berbeza. Dia turut kagum dengan keadaan geografi pantai Tusan kerana pantai ini satu-satunya pantai di negeri ini yang memiliki tebingan yang tinggi yang begitu hampir dengan pesisir pantai.

Nilai komersial yang dimiliki oleh Pantai Tusan ini telah menarik perhatian kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkannya sebagai salah satu tarikan pelancongan di kawasan Utara Sarawak dengan cadangan RM5 juta diperuntuk dalam separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 bagi fasa pertama, seperti yang telah diumumkam oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada Oktober 2016.

SF

Tinggalkan komen anda