Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Bidar Lukut Gamit Memori Kaum Melanau 40 Tahun Dahulu

By 7 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 7 Jan (Malaysiaaktif)- Permainan tradisional seperti Bidar Lukut, Tibo, dan Mainan Asin kini dimainkan semula oleh generasi muda terutama kaum lelaki di Kampung Tellian Daya (Tellian Ulu) untuk mengisi masa lapang mereka.

Antara yang menjadi tarikan ialah Perlumbaan “Bidar Lukut” yang merupakan satu hobi sukan air yang selalu dimainkan ketika sungai cetek bagi generasi muda kira-kira 40 tahun yang lalu.

Malaysiaaktif sempat berkunjung ke tempat permainan tersebut semasa pertandingan sukan air yang dikenali sebagai “Lubak Bidar Lukut” itu dianjurkan Kelab Tujunokala Kampung Seri Tellian (Tellian Tengah) dan Kampung Tellian Daya semalam.

Perlumbaan Bidar Lukut di garisan permulaan

Perlumbaan Bidar Lukut di garisan permulaan

Menurut Pengerusi Kelab Tujunokala Kampung Seri Tellian (Tellian Tengah) dan Kampung Tellian Daya, Jinew Jaraei, setiap bidar dikenakan bayaran RM10 sekali perlumbaan.

“Hari ini sebanyak 75 buah bidar didaftarkan maka perlumbaan akan dibuat selama dua hari dan kutipan sudah mejangkau RM750,” katanya.

“Dengan adanya kutipan yang dikumpul nanti kita akan menyediakan trek perlumbaan yang lebih sesuai lagi dan duit itu juga kita beri sebagai sagu hati kepada belia-belia yang bertugas.

“Permainan ini juga sesuai apabila ada tiupan angin yang kuat kerana pergerakannya dipengaruhi oleh angin dan manusia hanya mengawalnya dari belakang supaya bidar tersebut tidak melanggar bidar lain,”ujarnya.

Sementara itu, penduduk di tepi Sungai Tellian, Salem Sekah, hobi itu memang sesuai untuk dimainkan tetapi ketika sungai cetek sahaja. Jika maka tidak sesuai kerana air sangat deras mengalir walupun ada angin.

Trek baharu yang direka oleh belia kampung

Trek baharu yang direka oleh belia kampung

“Walau bagaimanapun, bidar lukut tidak akan dapat bergerak jika tidak mempunyai layar. Lukut itu ialah layarnya.

“Laju atau perlahan pergerakan bidar lukut pula bergantung kepada reka bentuk perahu dan saiz lukut yang biasanya berukuran kira-kira satu meter panjang, 19 sentimeter (sm) lebar dan lapan sm tinggi. Inilah replika perahu bidar sebenar yang digunakan dalam sukan air regatta,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganjur Remmy Ramai Sukup berkata mereka dahulu membuat perlumbaan bidar lukut secara suka-suka sahaja tanpa sebarang hadiah. Kini dengan adanya bermacam-macam hadiah berbentuk wang tunai dan piala berjaya menarike minat belia kampung yang semakin ramai mereka bentuk perahu masing-masing.

Hamper dan trofi kemenangan

Hamper dan trofi kemenangan

“Dulu kami berlumba bidar lukut ini secara bebas tanpa ada laluan seperti trek perlumbaan namun sekarang timbul idea generasi muda maka trek perlumbaan dibuat dengan menggunakan batang buluh disusun memanjang agar perahu tersebut berjalan sendiri tanpa dikawal oleh pemiliknya,”ujarnya.

Pesta ini jelas menonjolkan keunikan permainan tradisional Melanau kepada generasi muda agar tidak pupus sekali gus mampu menjadi tarikan pelancongan di kawasan Mukah.

SF

Tinggalkan komen anda