Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ramli Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu

By 7 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Zuraidah Ahmad & Irwan/ Foto: Gimpas @James Ghani (Sabah)

KOTA KINABALU, 7 Jan (Malaysiaktif) – Bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din, 55, dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menggantikan Datuk Abdul Rashid Harun yang bersara wajib pada Rabu.

Majlis serah terima tugas jawatan tersebut disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mewakili Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Bercakap kepada media, Noor Rashid menyeru semua pihak agar terus memberikan kerjasama kepada pihak keselamatan dalam memastikan kedaulatan Sabah sentiasa terpelihara.

“Isu keselamatan dan kedaulatan adalah tanggungjawab semua pihak, justeru kita perlu bekerjasama supaya negeri ini selamat daripada pencerobohan mahu pun jenayah rentas sempadan.

“Kedaulatan merupakan aspek yang perlu dipertahankan dan hanya akan berlaku sekiranya ada pengorbanan.

“Kedaulatan, keharmonian dan keselamtan yang kita kecapi hari ini ialah hasil pengorbanan pasukan keselamatan termasuk pasukan polis,” ujarnya.

Berkenaan sumbangan Abdul Rashid dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata tempoh perkhidmatannya menjangkau 41 tahun itu merupakan pengorbanan yang sangat besar.

Malah pelancaran buku bertajuk ‘Abdul Rashid Harun : Antara Kedaulatan dan Pengorbanan’ juga disifatkan sebagai perkongsian murni khususnya kepada anggota polis yang masih mentah dalam bidang kepolisan.

Berdasarkan latar belakang dan pengalamannya yang luas, Abdul Rashid telah berjaya menubuhkan Mes Pegawai Rendah 3S bagi mengangkat martabat anggota berpangkat rendah iaitu anggota berpangkat sarjan, sarjan mejar (SM) dan sub inspektor (SI) selain Pasukan Tindak Pantas (Rapid Team) bagi Kontinjen Sabah.

Selain itu, tambahnya, Abdul Rashid juga berjaya meninggalkan pasukan polis yang cukup terlatih dan bersedia untuk berhadapan dengan sebarang cabaran mendatang.

Walaupun menerusi sedikit pendekatan berbeza, Noor Rashid turut menggesa kerjasama erat diberi kepada Ramli yang akan meneruskan perjuangan yang terdahulu di samping terus berkoordinasi dengan pasukan keselamatan Kawasan Keselamtan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

SF

Tinggalkan komen anda