Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Jauhi Fitnah, Kukuhkan Ukhuwah Islamiah-Rahim

By 8 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh Mohamad Abdul Rahman  / Foto: Jeffren Malaning & Nawawi (Sabah)

PAPAR, 8 Jan (Malaysiaktif) – Umat Islam diseru menjauhi fitnah dan perpecahan demi mengukuhkan ukhuwah Islamiah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail mengajak masyarakat agar mempertahankan perpaduan untuk mencapai kejayaan dan membangunkan negeri serta negara.

“Ukhuwah sangat penting dalam menjamin kesatuan ummah. Ukhuwah sesama Islam atau ukhuwah Islamiah asasnya ialah akidah, muafakat, menjauhi sifat dengki, futnah, adu domba dan sengketa sesama ummah.

“Apa yang berlaku di sesetengah negara Islam yang telah musnah perlu dijadikan pengajaran kerana hari ini mereka amat merindui semula nikmat keamanan.

“Justeru, marilah kita pertahankan kekuatan yang kita miliki iaitu keharmonian sesama rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1438 H/2017 M Peringkat Daerah, pada Sabtu.

Sebanyak 44 kontinjen dengan 3,022 peserta terlibat dalam perarakan yang bermula dari Padang Pekan ke Dewan Masyarakat seawal 7.30 pagi.

Pengiran Mohd Yasin menerima sijil penghargaan daripada Rahim (empat dari kiri).

Pengiran Mohd Yasin menerima sijil penghargaan daripada Rahim (empat dari kiri).

 

Sementara itu, Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Papar disandang oleh mantan Ketua Daerah, Pengiran Mohd Yassin Pengiran Ali, 76, dari Kampung Talon Bongawan. Pemilihan ini adalah atas jasanya dalam perkhidmatan awam dan guru sukarela di Estet Mandahan hingga membawa SMK Bongawan menjadi Sekolah Harapan Peringkat Negeri pada 1996.

Pejabat Parlimen Papar dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Sepanduk kategori agensi kerajaan dan NGO, sementara kategori sekolah disandang oleh SMAN Toh Puan Hajah Rahmah dan Masjid Al-Fallah Pengalat Kecil Papar memenangi kategori masjid.

Jabatan Kemas Papar pula memenangi kategori kontinjen teramai dengan keanggotaan 150 peserta.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Sandakan turut berlangsung di Dewan Utama Masjid Daerah pada Selasa.

Sambutan tahun ini dianggap meriah berikutan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bersama-sama masyarakat di daerah berkenaan.

Musa (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat Daerah Sandakan, Abdul Wahab Alfah.

Musa (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat Daerah Sandakan, Abdul Wahab Alfah.

Bagi daerah tersebut, bekas kakitangan awam, Abdul Wahab Alfah, 60, dan Jamayah Sapawi 68, dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat Daerah Sandakan.

Wahab berkata, penganugerahan ini amat bermakna buat dirinya kerana tidak menyangka segala bakti yang dicurahkan dalam bidang dakwah selama berkhidmat dihargai kerajaan.

“Umur bukan satu penghalang tetapi semangat dan kesungguhan menyampaikan dakwah adalah lebih penting selagi kesihatan diizinkan Allah,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Jamayah Sapawi.

Jamayah Sapawi.

Bagi Hajah Jamayah penganugerahan yang diterima itu bukan sahaja untuk dirinya malah dianggap sebagai penghargaan kepada seluruh wanita terutama dalam bidang sosiopolitik.

“Saya cuba berkongsi pengalaman ini untuk menanam semangat ingin berjaya pada golongan wanita agar mampu berdikari dan cemerlang dalam pelbagai bidang,” jelasnya lagi.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda