Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Bermula Sebagai Bidan Terjun, Kini Pembuat Keris Sepenuh Masa

By 9 Januari 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Bangsa Melayu terkenal dengan hasil kesenian tangan yang membangun di bawah naungan Kesultanan Melayu sejak zaman berzaman.

Kemahiran Pandai Besi Melayu dalam menghasilkan senjata dan peralatan kerja yang mempunyai keunikan dari segi seni ukiran dan ragam hias telah menjadi produk warisan bangsa Melayu dan kebanggaan negara.

Lazimnya, senjata besi ditempa bertujuan untuk mempertahankan diri semasa berlawan dengan musuh. Ia turut menjadi sebahagian daripada peralatan budaya terutama dalam adat istiadat Diraja Kesultanan Melayu.

Pelbagai bentuk hulu keris.

Bagi orang kebanyakan, peralatan dan senjata besi hanya digunakan untuk menjalankan aktiviti harian seperti pertanian, pertukangan dan di samping itu juga sebagai senjata.

Memulakan karier sebagai Pandai Besi secara bidan terjun bermula tahun 2009, Zailani Mohamad, 42, yang dahulunya tukang kayu nekad untuk meneruskan kerjaya tersebut.

Anak kelahiran Kampung Morten ini membabitkan diri secara tidak sengaja apabila diminta mewakili Melaka untuk membuat demonstrasi Pandai Besi di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Antara keris buatan Zailani.

“Ketika itu saya hanya ada tempoh sehari untuk menyiapkan diri dan saya gunakan peluang itu untuk belajar mengetuk besi daripada Pak Din, seorang pakar besi di Lubok China.

“Ketika itu, saya hanya belajar perkara asas selama dua jam sahaja dan berangkat ke Kuala Lumpur keesokan harinya,” jelas Zailani ketika ditemui di bengkelnya di Pusat Perindustrian Kelemak, di sini.

Pada masa itu, dia berkata memang ada rasa rendah diri berkumpul bersama pakar dari seluruh negara namun dia mengambil sikap positif dengan mengambil kesempatan mengutip ilmu daripada pakar-pakar tersebut cara mengetuk, membakar dan menyepuh besi.

Selepas itu, ilmu yang dipelajarinya dibawa pulang ke Melaka untuk dipraktikkan di sini dan Zailani tekad membuka bengkel sendiri di rumahnya. Dia turut gigih menambah ilmu dengan bertemu Pandai Besi di Kelantan.

Menurutnya, dia turut menyertai kursus berkaitan keris yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di samping memperbanyak pembacaan dalam mengenal bentuk-bentuk keris.

Keris Melela, antara keris yang paling sukar dibuat.

“Dalam banyak-banyak jenis keris, yang paling sukar sekali dibuat ialah Keris Melela yang bernilai lebih RM700 sebilah, tapi keris yang paling lama saya buat ialah keris tahi bintang yang mengambil masa tiga bulan,” ujar Zailani.

Katanya, rakannya datang berjumpa membawa batu tahi bintang dan meminta dia untuk membuat keris. Namun, kerana tidak mampu membayarnya dengan nilai RM45,000, sebilah daripada keris tersebut diberikan kepadanya sebagai upah.

“Memang ada yang merisik hendak beli keris meteor itu, tapi bila dengar harga, mereka tak jadi beli. Keris meteor ni sangat elok untuk perubatan, contohnya jika ada orang yang terkena sihir, dia akan rasa panas,” jelas Zailani lagi.

Tambahnya, kebiasaannya bekalan besi untuk membuat keris diambil dari Kelantan. Sebilah keris pula akan dibuat menggunakan campuran besi berjumlah ganjil sama seperti jumlah lekuk atau luk keris.

Dalam pada itu, ramai yang mengaitkan keris dengan perkara mistik. Ada mengatakan keris perlu diasap dengan kemenyan untuk sesuatu tujuan.

“Dari segi saintifik, limau mengandungi asid yang boleh menanggalkan karat di bilah, manakala kemenyan pula mengandungi getah di mana asap yang naik akan melekat untuk menutupi rongga keris yang terbuka,” jelasnya.

Zailani yang telah membuat kira-kira tiga ribu bilah keris semenjak 2009 berkata, seorang pelanggan daripada Jerman pernah membeli keris unduk-unduk buatannya untuk dihadiahkan kepada isterinya yang juga seorang pengumpul keris.


Dengan bantuan dua orang rakannya, Zailani juga pernah membuat 40 bilah tombak yang digunakan untuk pertabalan Yang Dipertuan Agong pada tahun 2014 dengan mengambil tempoh hampir dua bulan untuk disiapkan.

Kata Zailani, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia banyak membantu usahawan sepertinya dengan menyumbangkan mesin dan juga bahan mentah.

“Adakalanya jika mereka menganjurkan pameran, saya pasti akan ditawarkan sewa yang rendah berbanding penyewa lain, dan mereka juga dalam perancangan untuk membantu memasarkan keris ke luar negara.

“Namun begitu, untuk membawa senjata ke luar negara memerlukan banyak prosedur dan prosesnya memang mengambil masa berbanding barangan kraf yang lain seperti rotan atau seramik,” ujarnya.


Menurut Zailani, cabaran dalam perniagaan ini adalah apabila harga barangan mentah meningkat maka mereka juga terpaksa menaikkan harga keris untuk menampung kos yang dikeluarkan.

Di Melaka, hanya empat orang sahaja pakar keris dan Zailani berharap agar ada generasi muda yang berminat untuk mempelajari cara membuat keris.

“Memang perlu ada orang muda untuk kesinambungan masa akan datang. Ajal maut tidak kira tua muda. Selagi masih ada pakar-pakar ini, lebih baik ambil kesempatan untuk belajar.

“Harapan saya agar generasi muda belajar mengenal senjata warisan dan jika berminat, digalakkan untuk mempelajari cara membuatnya pula supaya warisan Melayu tidak pupus,” seru Zailani kepada warga muda di Malaysia.
-DZ

Tinggalkan komen anda