Proses Rasionalisasi – MARA Jual Hartanah Di Australia

whatsapp-image-2017-01-10-at-2-42-57-pm

 

 Laporan dan foto oleh: Mohd Anuar Ibrahim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Malaysiaaktif) – “Penjualan satu daripada tiga aset utama di Australia oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui anak syarikatnya MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) merupakan salah satu daripada langkah yang diambil hasil dari proses rasionalisasi semula aset MARA bagi menjana keuntungan jangka masa panjang.”

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat MARA, di sini hari ini.

“Penjualan aset tersebut telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan Malaysia yang menetapkan syarat nilai jualan perlu melebihi dari nilai belian yang mana aset tersebut berjaya dijual pada harga AUD23.4 juta (RM76.75) berbanding harga belian iaitu AUD21 juta.

“Penjualan satu dari tiga aset tersebut yang dilaksanakan secara bidaan terbuka telah dikendalikan secara sepenuhnya oleh Colliers International, firma hartanah terkemuka di Australia,” katanya.

Tambahnya, hasil daripada penjualan aset tersebut akan diguna bagi melangsaikan pinjaman hartanah yang dibuat melalui bank tempatan di Australia, manakala selebihnya akan digunakan untuk menambah baik baki tiga aset, di samping menceburi bidang perniagaan baru di negara tersebut.

Jelas Annuar Musa, aset yang dijual oleh MARA Inc di 51 Queen Street, Melbourne merupakan bangunan yang merangkumi dua belas tingkat ruang pejabat dan mempunyai ruang niaga moden di tingkat bawah.

Kesemua ruang niaga telah disewakan kepada 24 penyewa daripada pelbagai jenis perniagaan dan diuruskan oleh Savills (Vic) Pty Ltd, salah satu firma pengurus bangunan terkemuka di Melbourne.

Dalam pada itu, Annuar Musa turut berharap pihak media dan orang ramai tidak mempercayai segala tohmahan yang menyatakan tentang ketidakstabilan kedudukan kewangan MARA dan hampir muflis berikutan penjualan aset tersebut.

– AH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *