Skip to main content
Berita TempatanLabuanSabahWilayah Persekutuan

Gegaran Cetus Suasana Panik di Sabah, Labuan

By 10 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: Zuraidah Ahmad, Azman Jumat (Sabah) & Mohd Faizal Mansor (Labuan)

KOTA KINABALU, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Suasana panik tercetus apabila satu gegaran dirasai di sekitar ibu negeri kira-kira 2.13 petang  tadi.

Tinjauan yang sempat dibuat mendapati kebanyakan golongan pekerja terutama mereka yang berada di bangunan tinggi mengambil langkah berjaga-jaga dengan turun ke kawasan lapang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud yang ditemui di pejabatnya mengesahkan kejadian berkenaan dan meminta orang ramai bertenang.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud

Menurutnya, gegaran tersebut ekoran gempa bumi kuat berukuran 7.3 pada skala Richter yang berlaku di koordinat 4.4 Utara dan 122.7 Timur di kawasan Celebes Sea, 466 kilometer di Timur Laut Semporna, Sabah.

“Satu gempa bumi kuat telah berlaku pada 2.15 petang tadi bermagnitud 7.3 skala Ritcher dan kedalaman 622 kilometer di Celebes Sea.

“Jarak dari Semporna 466km Timur Laut, Semporna dan gegaran dirasa di seluruh Sabah. Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Ditanya kemungkinan berlakunya gegaran susulan, Azemi menjelaskan gempa-gempa kecil itu dijangka akan wujud berikutan skalanya yang agak besar sehingga stabil.

2. Suasana di Pekarangan Wisma Dang Bandang

Suasana di Pekarangan Wisma Dang Bandang

“Gegaran susulan mungkin ada sebab gempa itu agak besar dan akan ada gempa-gempa kecil yang berterusan mungkin ada satu atau dua sehingga stabil.

“Untuk sementara, orang ramai yang berada di bangunan tinggi saya pasti mereka sudah turun ke bawah sebagai langkah keselamatan. Bagaimanapun, pada pandangan saya, oleh sebab lokasi gempa itu jauh jadi orang ramai tidak perlu risau sangat.

“Jika dilihat kedalaman gempa kali ini melebihi 100 kilometer, terlalu dalam dan tak mungkin tsunami akan berlaku. Seandainya cetek, kurang 100 km daripada permukaan di laut, maknanya ada potensi untuk tsunami berlaku.

“Kedalaman 622 km ini tidak memungkinkan tsunami. Namun, gegaran yang kuat ini akan dirasai di seluruh Sabah dan mungkin sampai juga ke Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Sementara itu, pada waktu yang sama, bandar Labuan turut terasa gegaran gempa bumi tersebut.

Kekuatan magnitud 7.3 skala richter tersebut dapat dirasai oleh orang ramai di Bangunan Ujana Kewangan Labuan.

Orang ramai diarahkan keluar dari Bangunan Ujana Kewangan

Orang ramai diarahkan keluar dari Bangunan Ujana Kewangan

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Pain Muzal, mereka bergegas ke bangunan tersebut bagi memastikan keselamatan orang awam dan bangunan tersebut.

“JBPM Labuan sedang memeriksa keselamatan bangunan tersebut agar tidak berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini susulan daripada gegaran tersebut,” ujar Pain.

Orang ramai dan warga penjawat awam berpusu-pusu keluar daripada bangunan tersebut sebaik sahaja siren kecemasan berbunyi.

Dalam pada itu, Omar Haji Osman, 44, yang merupakan orang awam tidak menyangka bahawa urusannya ke bank CIMB Ujana Kewangan tergendala disebabkan gegaran tersebut.

img_8987

Dia hanya sedar selepas diarahkan oleh pihak keselamatan bangunan Ujana untuk keluar dari bangunan tersebut bersama kakitangan bank yang lain.

Bagi penjawat awam, Junainah Rosli, 27, dia turut berasa panik kerana hanya menyangka sekadar latihan kebakaran biasa.

“Saya sedar selepas dimaklumkan oleh rakan bahawa gegaran tersebut memang benar-benar berlaku,” katanya.

Pada 5:18 petang tadi, setelah siasatan menyeluruh oleh JBPM Labuan, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan bangunan Ujana Kewangan kini selamat dan boleh beroperasi seperti biasa.
SF/SH/DZ

Tinggalkan komen anda