Skip to main content
EkonomiHome

Jumlah Pelancong China Di Malaysia Meningkat Ketara – TPM

By 11 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan
Foto: Star2

 

BEIJING, 11 Jan — Ketibaan pelancong China di Malaysia meningkat dengan ketara sejak kerajaan memperkenalkan kemudahan pengecualian visa atau kemudahan ENTRI (Pendaftaran pelancongan elektronik) dan kemudahan visa elektronik pada Mac tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah permohonan untuk kemasukan dari China bagi tempoh Mac hingga Disember tahun lepas ialah sebanyak 2.2 juta berbanding 1.2 juta bagi tempoh sama pada 2015.

Beliau berkata sepanjang 2015, sebanyak 1.7 juta pelancong China termasuk mereka yang berada di luar negara Tembok Besar itu melawat Malaysia dan berbelanja kira-kira RM5.7 bilion atau purata RM3,500 seorang.

“Usaha gigih akan terus dilakukan untuk menggamit kedatangan pelancong menerusi tiga musim percutian utama iaitu sekitar Tahun Baharu Cina, percutian musim panas dan percutian hujung tahun,” katanya kepada pemberita Malaysia, di sini Rabu.

Beliau berkata masih terdapat banyak ruang untuk diusahakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam membawa lebih ramai pelancong China ke Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata statistik Jabatan Imigresen menunjukkan kebanyakan pelancong China yang berkunjung ke Malaysia adalah dalam kategori percutian keluarga dan jumlah yang tinggal melebihi tempoh visa adalah amat kecil.

Beliau turut meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meningkatkan usaha menggalakkan penerbangan carter ke Malaysia kerana masih banyak bandar-bandar utama di China yang tidak mempunyai perkhidmatan penerbangan terus ke Malaysia.

Katanya tumpuan akan diberi kepada Labuan sebagai destinasi pelancongan baharu serta dipromosi sebagai laluan dan pintu masuk pelancong China ke Sabah dan Sarawak.

Mengulas pertemuannya dengan Menteri Keselamatan Awam China Guo Shengkun semalam, Ahmad Zahid berkata beliau menyampaikan penghargaannya kepada Guo berhubung respons pantas China terhadap setiap permohonan yang dikemukakan Malaysia.

Ditanya mengenai kesan insiden penerbangan MH370 terhadap sektor pelancongan China di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kejadian itu hanya memberi kesan sekitar empat bulan sebelum keadaan kembali kepada sedia kala.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelancongan, beliau akan meminta peruntukan untuk pengiklanan dan promosi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ditingkatkan.

Perincian mengenai perkara itu akan diumum apabila tiba masanya, kata Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan enam hari ke republik ini bermula semalam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda