Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Manfaat Takaful Peminjam PTPTN Yang Meninggal Dunia

By 12 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / Foto oleh : Seri Ayu Wardiah Samsudin (Petaling)

SHAH ALAM, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengadakan penyerahan manfaat takaful kepada waris Allahyarham Muhammad Taufeq Hassan, mangsa tragedi amuk di Bertam, Melaka dan waris Allahyarham Azrul Hisham Azman iaitu mangsa tragedi lemas di Air Terjun Batu 16, Gombak, di Shah Alam.

PTPTN memberikan pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman Allahyarham melalui manfaat Skim Perlindungan Takaful dan pemberian wang khairat kematian kepada waris Allahyarham.

Abdul Ghaffar (tiga dari kiri) menyerahkan wang khairat kematian kepada keluarga waris.

Abdul Ghaffar (tiga dari kiri) menyerahkan wang khairat kematian kepada keluarga waris.

 

Hutang pinjaman pendidikan Taufeq dan Azrul masing-masing berjumlah RM15,000 dan RM29,250.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, menjelaskan skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok adalah bertujuan untuk melindungi pinjaman PTPTN yang diberikan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam.

“Dibawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun prinsipal pinjaman pendidikan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada semua peminjam atau baki prinsipal akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik oleh PTPTN,” jelasnya.

Melalui manfaat Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN, kesemua pinjaman mangsa-mangsa tersebut telah selesai sepenuhnya. Pada masa yang sama waris masing-masing turut menerima RM 1,500.00 bagi khairat kematian.

“PTPTN sebagai sebuah agensi pembiaya utama pendidikan tinggi negara sentiasa memikirkan kebajikan peminjamnya. Dengan keprihatinan PTPTN ini mampu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para peminjam serta waris peminjam PTPTN,” jelasnya lagi.

Turut menerima penyerahan ini adalah seorang lagi mangsa lemas di Air Terjun Batu 16, Gombak iaitu Allahyarham Muhammad Abdullah yang juga merupakan peminjam PTPTN.

Allahyarham ketika kemalangan masih merupakan seorang pelajar dan belum bergraduat namun masih tertakluk di bawah Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN.

“Sehingga 31 Disember 2016, seramai 6,682 peminjam dengan jumlah RM 107.64 juta telah menikmati manfaat perlindungan takaful. PTPTN telah menyerahkan jumlah tuntutan khairat kematian kepada 6,073 penuntut/waris dengan jumlah RM7.52 juta.

“Berkuat kuasa 1 Januari 2016, kiraan potongan sumbangan takaful bagi Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN semua tahun tajaan pula adalah  atas kadar RM0.59 setahun bagi setiap RM1,000 pinjaman dengan mengambil kira pengeluaran pinjaman, tempoh pengajian dan tempoh bayaran balik yang telah ditetapkan,” katanya.

Bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris/penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN.

Borang Permohonan Tuntutan Takaful beserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan kepada Pejabat PTPTN Negeri/Cawangan yang berhampiran atau diposkan ke Ibu Pejabat PTPTN.

 

-MSM/AAS

Tinggalkan komen anda