Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanEkonomiHomeMelaka

Arwah Ayah Pembakar Semangat Usahawan Muda Berjaya

By 12 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh M.Zakry Chan & Norazura Abd Latif

JASIN, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Kotor dan busuk; itulah persepsi anak-anak muda sekarang apabila topik usahawan ternak ini diajukan. Namun tidak bagi Asmah Sulaiman, 24, seorang usahawan muda ternakan kambing dan lembu yang berjaya.

Memikul amanah arwah ayah, Asmah dan abangnya Abdullah, 25, bertekad untuk terus melangkah mengembangkan usaha ternak yang telah menjadi darah daging mereka sekeluarga.

“Di awal permulaan usaha ternak saya, hanya terdapat 50 ekor kambing dan beberapa ekor lembu sahaja yang dibeli sebagai induk, namun berbekalkan keazaman dan impian, kini kami boleh berbangga dengan mempunyai lebih 1,000 ekor kambing,” kata Asmah yang tinggal di Kampung Bukit Tembakau, Serkam di sini.

Mempunyai pengalaman asas ternakan kerana sering mengikuti arwah bapa turun ke ladang, mereka turut mengikuti kursus pengurusan ladang ternakan yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Melaka bagi meningkatkan lagi ilmu dalam bidang ini.

7

Asmah (kiri) menunjukkan ternakan kambingnya.

 

“Pada tahun 2011, DVS turut membantu membiaya sepenuhnya pembinaan kandang lembu seluas 30 X 100 kaki dengan kos berjumlah RM60,000 yang dapat memuatkan sebanyak 140 ekor lembu.

“Di samping itu, khidmat nasihat juga diberi dan kursus-kursus meningkatkan kemahiran termasuklah kursus kesihatan dan pemakanan haiwan, kursus pengurusan ladang dan kursus keusahawanan,” jelasnya yang mempunyai kambing jenis biri-biri, Kibas, Janapari dan Boer serta lembu jenis KK, kacukan Kedah dan Kelantan, di ladang ternakannya.

Asmah merupakan antara usahawan ternak yang mempunyai permit pengimport kambing dan lembu serta kini turut menjalankan perniagaan hiliran dalam memaksimumkan pengeluaran hasil.

3

 

“Antara perkhidmatan yang kami sediakan di sini ialah khidmat kambing golek, membekalkan susu kambing dan juga membuat baja organik hasil daripada najis kambing,” jelasnya.

Menurut Asmah, di samping penjualan kambing untuk majlis-majlis perkahwinan, aqiqah dan korban, ada juga permintaan daripada usahawan-usahawan penternak yang mengambil stok kambing hidup untuk menampung permintaan kambing yang terus meningkat di kawasan masing-masing.

“Harga yang berpatutan serta jaminan kualiti yang kami tawarkan telah menjadikan syarikat ini pilihan utama usahawan-usahawan ternak lain untuk mendapatkan stok kambing yang berkualiti,” katanya lagi.

8

Ternakan lembu di ladang milik Asmah. / Sumber: Facebook Asmah Sulaiman

 

Berkongsi pengalamannya, Asmah berkata pelbagai cabaran dalam bidang usahawan telah dirasainya namun yang paling diingati ialah apabila hampir 50 ekor kambing yang diimport mati akibat tertekan kerana perubahan iklim yang mendadak.

“Pengalaman itu mengajar saya lebih berhati-hati dalam menjalankan proses pemindahan dan kuarantin ternakan. Selain itu, cabaran yang saya hadapi adalah isu hutang lapuk pelanggan serta  kecurian kambing yang kerap berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Asmah turut berkata dia yang mengimport kambing dari Australia turut terkena tempias isu kejatuhan nilai ringgit yang memberi impak besar kepadanya.

“Namun sebagai penternak kita harus mempelbagaikan usaha. Syarikat kami, Ternakan SS Trading kini beralih mengimport kambing dan lembu dari negara-negara jiran sebagai langkah terbaik mengurangkan kos pembelian kambing dan juga pengangkutan,” jelasnya.

4

Antara kambing biri-biri yang diimport oleh Asmah. / Sumber: Facebook Asmah Sulaiman

 

Di samping itu, mereka juga turut melakukan penanaman rumput Napier sebagai makanan tambahan agar dapat mengurangkan pergantungan makanan rumusan ternakan yang harganya semakin meningkat dari hari ke hari.

Ketika ditemui, Asmah turut berharap agar lebih ramai anak-anak muda dapat menceburkan diri dalam bidang ternakan dan menjadi usahawan yang berjaya.

“Cabaran yang datang harus dijadikan perangsang untuk mencapai kejayaan di masa hadapan kerana penternakan adalah perniagaan yang amat menguntungkan,” katanya mengakhiri perbualan.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda