Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Kasih Adenan Kasih Sejati

By 13 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

  Oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis / Foto: Chua Sim Choon

KUCHING, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Segenap lapisan masyarakat tidak kira latar belakang memberikan tanda hormat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dengan menyatakan ucapan takziah dan titipan doa melalui laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Ada juga yang menukar gambar profil masing-masing kepada bendera Sarawak berwarna hitam putih sejak Apai Besar Sarawak itu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1.24 tengah hari, Rabu lepas di Pusat Rawatan Jantung Kota Samarahan.

Semasa majlis penghormatan terakhir di Masjid Jamek Petrajaya semalam, puluhan ribu rakyat pelbagai kaum hadir bagi menatap wajah pemimpin yang amat disayangi buat kali terakhir. Jenazah Allahyarham Adenan Satem selamat dikebumikan kira-kira  2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Samariang.

Pengebumian KM 1

Bacaan doa Talkin oleh Pemangku Imam Besar Negeri, Ustaz Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan diaminkan oleh para hadirin termasuk pembesar negara, negeri dan Sultan Brunei.

Lebih terkesan apabila seorang lelaki Cina bertanya dalam Facebook sama ada dia dibenarkan untuk menjejakkan kaki di masjid untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Tok Nan.

Pada masa yang sama, Bendera Sarawak yang diserahkan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud kepada Puan Sri Jamilah Anu pada akhir majlis pengebumian didakap erat seorang isteri yang amat mengerti betapa kasih dan sayang suaminya terhadap negeri tanah tumpah darahnya.

“Arwah sempat menyatakan keinginannya untuk makan aiskrim kegemarannya, Sunny Hill. Saya berasa pilu kerana Tok Nan pada saat-saat akhir menzahirkan rasa terkilannya kerana tidak mampu lagi untuk memimpin negerinya yang tersayang,” kata isterinya semasa keberangkatan dari Pusat Jantung berkenaan.

Tun Pehin Sri menyiram air bunga mawar ke atas pusara Tok Nan

Tun Pehin Sri menyiram air bunga mawar ke atas pusara Tok Nan

Antara kejayaan yang dibawa oleh Tok Nan ialah menghapuskan tol, mengurangkan tarif elektrik dan cukai pintu, menghapuskan cukai tanah, dan menyeragamkan bayaran feri kepada hanya RM1.

Arwah juga menghentikan pengeluaran lesen syarikat kayu balak, pembalakan haram, melarang penduduk Cina digelar pendatang, menghapuskan ruangan “lain-lain” dalam borang rasmi kerajaan negeri, dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Cina.

Tok Nan turut menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris, membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk penganut agama Kristian di negeri ini, menuntut 20% royalti minyak, mengadakan perbincangan penurunan kuasa mengikut Perjanjian Malaysia 1963 selain pembinaan Pan Borneo Highway.

Dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang lepas, aura #theAdenanWay dan kekuatan #TeamAdenan telah membantu Barisan Nasional (BN) memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. BN turut berjaya merampas kembali beberapa kawasan pembangkang.

Adenan ketika mengetuai BN dalam PRN Sarawak tahun lalu.

Adenan ketika mengetuai BN dalam PRN Sarawak tahun lalu.

Rakyat tidak kering gusi dengan celoteh jenaka beliau di atas pentas. Suara merdunya mendendangkan lagu “The Young Ones”.  Gurauan dan usik-mengusik terhadap isteri beliau sering menghiburkan.

Kelantangannya bertutur bahasa tempatan diselang-selikan dengan bahasa Inggeris amat menyeronokkan dan menimbulkan rasa bangga dalam kalangan pendengar. Dan laungan keramat “Ooha..you..you” di setiap pembuka ucapan sentiasa disambut dengan penuh semangat oleh hadirin pada setiap majlis di setiap pelosok negeri Sarawak.

Yang pasti, legasi peninggalan Tok Nan memang sukar diikuti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut sama menyiram pusara Adenan

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut sama menyiram pusara Adenan

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyifatkan pemergian Tok Nan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat negeri ini malah kepada seluruh rakyat Malaysia amnya.

Usah gusar kerana semangat “ooha…you..you” serta sokongan padu rakyat Sarawak akan mendorong pengganti arwah, Datuk Abang Johari Abang Openg  untuk terus membawa Sarawak ke mercu kegemilangan.

-SF

Tinggalkan komen anda