Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Anak OKU Cemerlang UPSR ke MRSM

By 13 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan & Foto: Herman Hamid

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Malaysiaaktif) – “Walaupun ibu bapa saya OKU (Orang Kelainan Upaya) dan tidak celik dari segi penglihatan, namun hati saya celik untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cerah”.

Demikian kata Aliyah Maisara Md Akir ketika menerima surat tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di PPR Jelatek di sini, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri menyerahkan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada Aliyah Maisara

Ismail Sabri menyerahkan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada Aliyah Maisara

Aliyah Maisara, 13, yang bercita-cita untuk menjadi Doktor Pakar Mata merupakan salah seorang pelajar cemerlang UPSR daripada keluarga OKU.

“Saya akan memastikan tumpuan diberi sepenuhnya ketika guru mengajar di dalam kelas kerana saya perlu membantu ibu bapa saya ketika berada rumah,” tambah Aliyah.

Plak & Piala Kecemerlangan Aliyah Maisara dalan bidang akademik & kokurikulum

Piala Kecemerlangan Aliyah Maisara dalam bidang akademik dan kokurikulum

Sementara itu, menurut Ismail, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memastikan pelajar cemerlang daripada golongan ini diberi keutamaan untuk mendapat pendidikan menengah terbaik di MRSM selaras dengan objektif untuk membangunkan masyarakat setempat.

“MRSM membuka satu platform bagi mereka yang datang daripada keluarga OKU dan juga kurang berkemampuan tetapi mempunyai potensi untuk terus maju.

“Keutamaan akan terus diberi kepada golongan ini kerana melalui pendidikan yang sempurna di MRSM berupaya membantu mengubah masa depan keluarga mereka ke arah yang lebih positif,” ujarnya.

Aliyah Maisarah (tengah) bersama bapa Md Akir Jaidin (kiri) dan ibu Paizun Mat Jari (kanan) yang kedua duanya orang kelainan upaya penglihatan.

Aliyah Maisarah (tengah) bersama bapa Md Akir Jaidin (kiri) dan ibu Paizun Mat Jari (kanan) yang merupakan OKU penglihatan.

Dalam pada itu, Ismail turut menjelaskan sebanyak 7,000 tempat ditawarkan bagi kemasukan ke Tingkatan Satu manakala 2,000 tempat untuk kemasukan ke Tingkatan Empat MRSM 2017 di seluruh negara.

Surat tawaran akan dikeluarkan bermula 23 Januari 2017 manakala 6 Februari ditetapkan sebagai tarikh pendaftaran kemasukan pelajar.

Sebanyak 64,484 permohonan telah diterima pada tahun ini. Status permohonan boleh disemak menerusi www.mara.gov.my selepas bermula Februari ini.

SF

Tinggalkan komen anda