Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Bangga Menjadi Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

By 15 Januari 2017Februari 6th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / Foto oleh: Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Malaysiaaktif) – “Saya bangga menjadi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana bukan sahaja di sini saya mencari rezeki malah di sini jugalah saya membina keluarga dan gembira dengan kemajuan yang dicapai oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada.”

Ujar seorang warga Kuala Lumpur, David Mizan Hashim, 55, yang ditemui semasa ‘Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan’ di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, (DBKL), Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Pendapat tersebut turut disokong Mieskieran Ismail, 36, yang menyaksikan transformasi Kuala Lumpur sejak kecil.

WhatsApp Image 2017-01-15 at 10.45.38 AM

David Mizan Hashim, 55 tahun mengibarkan Bendera Wilayah Persekutuan ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.

“Dari sebuah bandar biasa, Kuala Lumpur kini telah pesat membangun, menjadi kebanggaan negara dan tempat mencari rezeki di bumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.”

Beliau ditemui bersama-bersama isteri Siti Alia Ahmad, 32, dan anak-anak, Muhammad Zarif, 11, Areefa Delisha, 9, Muhammad Zafran, 5, yang turut menyertai acara kayuhan berbasikal sempena KL Car Free Morning.

WhatsApp Image 2017-01-15 at 10.46.07 AM

Mieskieran Ismail, 36 (kiri) bersama isteri Siti Alia Ahmad, 32 (tengah) bersama anak-anak mereka, Muhammad Zarif, 11 (kanan), Areefa Delisha, 9 (dua dari kanan) dan Muhammad Zafran, 5 (dua dari kiri) mengibarkan Bendera Wilayah Persekutuan ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.

Warga belia yang ditemui, Muhd. Abdul Alim Azali, 27, dan Norfadilah Mat Saad, 22, pula berpendapat program KL Car Free Morning merupakan aktiviti riadah hujung minggu berfaedah dan patut diteruskan.

“Program pada hari ini cukup bermakna buat kami, bukan sahaja dapat berbasikal untuk menjaga kesihatan malahan kami berbangga dapat turut serta di ‘Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan’ untuk tahun 2017 ini.”

‘Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan’ dilancarkan serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Seramai 1,000 warga kota hadir bagi mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di Dataran DBKL bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut bersekali dengan program KL Car Free Morning.

Menurut Tengku Adnan, Pada tahun ini tema Sambutan Hari Wilayah dikekalkan iaitu ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.

“Ini bertepatan dengan aspirasi Kementerian yang ingin menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang ceria merangkumi persekitaran yang bersih, kemudahan pengangkutan yang kondusif, sistem pengangkutan yang sistematik dan seterusnya meningkatkan produktiviti warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

WhatsApp Image 2017-01-15 at 10.44.31 AM

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika menyampaikan ucapan perasmian ‘Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan’ di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.

Beliau juga berbesar hati memaklumkan kepada warga Wilayah Persekutuan khususnya kepada warga belia atau Gen-Y yang ingin menggunakan dewan sukan atau pusat sukan di sekitar Wilayah Persekutuan akan diberikan secara percuma tanpa sebarang cas.

“Kami di pihak pengurusan sedang berusaha untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Wilayah Persekutuan untuk kesenangan dan kemudahan warga kota,

“Kami memahami kesusahan yang dialami rakyat terutamanya tentang isu kesesakan jalan raya,” katanya lagi.

Tengku Adnan turut mengumumkan cadangan inisiatif terbaharu berkaitan kebersihan di sekitar Kuala Lumpur.

“Kebersihan di Wilayah Persekutuan adalah tanggungjawab bersama dan kemungkinan pada masa terdekat akan dicadangkan agar tong sampah di sekitar bandar di Wilayah Persekutuan akan dikurangkan demi mendidik warga kota untuk lebih berdisiplin dengan menyimpan sampah yang ada sebelum dibuang di tempat yang sepatutnya.”

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

-MSM

Tinggalkan komen anda